TUTONG 17 MAC – Sebagai usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan di samping menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Kiudang dan Pad Nunok, Mukim Kiudang, Daerah Tutong bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pad Nunok, Mukim Kiudang baru-baru ini.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman selaku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik. Manakala bagi pihak Kampung Kiudang dan Pad Nunok diketuai oleh Ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok, Yang Mulia Awang Muhammad Rifaie bin Haji Abdul Rahim @ Cyril Wong Selangkir.
Taklimat kepada penduduk-penduduk kampung disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri; Unified Smart Metering System Sdn Bhd (USMS) mengenai Penggunaan Sistem Meter Baharu; dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) mengenai Pendaftaran Semula Kad Sim Prabayar.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan yang mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk melalui beberapa landasan termasuk Program Sua Muka dan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Selain itu, menurut beliau, program Komunikasi Bersemuka Salah juga adalah strategi kerja Jabatan Penerangan dengan tujuan meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program berkenaan turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, kesejahteraan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.