Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT –Dalam usaha untuk membarigakan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Tanjong Nangka, Mukim Sengkurong, kelmarin.
Program yang diadakan di Pejabat Penghulu dan Ketua-ketua Kampung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong itu bertujuan untuk menghubungkan jalinan di antara penduduk kampung dan pihak kerajaan melalui kaedah penyampaian isu-isu kampung yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar, manakala rombongan dari Kampung Tanjong Nangka diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Tanjong Nangka Awang Haji Hamdan bin Haji Ajak.

Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung itu, pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perdana Menteri.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad yang antara lain menekankan mengenai Peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.



Selain sebagi salah satu usaha di bawah strategi kerja jabatan berkenaan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, yang antaranya berkaitan dengan keugamaan, prasarana, keselamatan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.

