Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Program Sua Muka jalin hubungan Daerah Temburong

    Oleh Syahmi Hassan – 

    TEMBURONG, 28 MEI – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong, hari ini, telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Selangan, Kampung Parit dan Kampung Biang Menengah, Mukim Amo, Daerah Temburong.

    Ia merupakan usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan dan dalam masa yang sama bagi menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

    Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar dan disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.

    Turut hadir menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk kampung-kampung berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya (Jalan Raya dan Jabatan Saliran dan Pembetungan), Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Cyber Security Brunei dan DST Network Sdn Bhd.

    Ketua rombongan telah menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat melalui beberapa landasan termasuk Program Sua Muka dan terbitan akhbar rasmi, Pelita Brunei.

    Program ini juga adalah salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat.

    Pemangku Ketua Kampung Selangan, Kampung Parit dan Kampung Biang Menengah, Awang Dulamit bin Burot menyampaikan ucapan penghargaan atas peluang untuk mengemukakan isu dan permasalahan yang dihadapi penduduk kampung. Menurut beliau juga, program tersebut amat mustahak dalam mengungkayahkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dikemukakan sepertimana yang telah dirancang oleh agensi-agensi berkaitan.

    Gambar ramai peserta Program Sua Muka. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...