Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Sebagai usaha menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kenegaraan dan menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian serta tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Jerudong A, Mukim Sengkurong yang berlangsung di Pejabat Penghulu dan Ketua Kampung, Mukim Sengkurong, kelmarin.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan pada program berkenaan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini dan pihak Kampung Jerudong A diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Jerudong A, Awang Mohammad Nazmi Fa’iz bin Haji Abu Bakar.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Sengkurong, Dr Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.
Program itu diisikan dengan penyampaian maklumat mengenai tatacara pengibaran bendera kepada penduduk-penduduk kampung yang disampaikan oleh Jabatan Penerangan dan diteruskan dengan maklumat mengenai penggunaan sistem meter baharu yang disampaikan oleh pihak Unified Smart Metering System Sdn Bhd (USMS).
Dalam mukadimahnya di acara berkenaan, Dayang Sastra menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program itu turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, antaranya berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan penduduk kampung.