Program Tadabbur Al-Quran sesi Oktober dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat kini menawarkan Program Tadabbur Al-Quran untuk orang ramai bagi sesi Oktober 2020.

Program Tadabbur Al-Quran bagi sesi Oktober ini diadakan selama enam minggu iaitu setiap Ahad, bermula 8:30 pagi hingga 10 pagi bertempat di kampus UNISSA.

UNISSA dalam kenyataannya menjelaskan, program berkenan khusus diadakan untuk membimbing masyarakat awam dalam memberikan kefahaman dan penghayatan kepada Al-Quran melalui rujukan dan kitab-kitab tafsir yang muktabar.

Ini, tambah kenyataan, selaras dengan konsep Negara Zikir dan rakyat celik Al-Quran sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut mengenai program berkenaan, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, UNISSA di talian 2462000 sambungan 204, 202 ataupun melayari laman sesawang www.unissa.edu.bn atau menghantar e-mel ke [email protected]