Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tadabbur lahirkan masyarakat celik Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    TEMBURONG, 1 JULAI – Bagi memperkasa kefahaman dan penghayatan terhadap ayat-ayat suci Al-Quran, khususnya dalam kalangan Muslimah, Program Tadabbur Ayat-ayat Syifaa Al-Quran telah diadakan di Masjid Kampung Selangan, Daerah Temburong, pagi tadi.

    Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Selangan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta akan maksud ayat-ayat Al-Quran melalui tafsirannya secara meluas serta menambah kefahaman terhadap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar Al-Quran.

    Sesi tadabbur disampaikan oleh Pegawai Ugama SkiPPA, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dr Nooraimah binti Sibuang. Dalam penyampaian beliau, para Muslimah diseru untuk meningkatkan rasa kebergantungan kepada Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan, terutamanya ketika menghadapi ujian penyakit.

    “Ayat-ayat syifaa membawa mesej, kesembuhan sebenar datang daripada Allah SWT.

    Walaupun kita disarankan mendapatkan rawatan dan nasihat pakar, hati tetap perlu berserah dan bertawakal kepada-Nya,” jelas beliau.

    Beliau turut berkongsi kisah para anbiya’ sebagai contoh pengajaran (‘ibrah) bagaimana keimanan dan keteguhan jiwa menjadi tunjang ketika menghadapi ujian yang berat.

    Intipati tadabbur menekankan agar umat Islam mentauhidkan Allah dan memohon kesembuhan daripada-Nya dengan penuh keyakinan.

    Program seumpamanya dihasratkan menjadi wadah dalam membangkitkan rasa ‘izzah terhadap Al-Quran, selain menambah keimanan serta mengukuhkan penghayatan dalam kehidupan beragama. Ia juga selaras dengan usaha berterusan Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk menyampaikan kefahaman Al-Quran kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan jemaah masjid.

    Dr Nooraimah menyampaikan ceramah semasa Program Tadabbur Ayat-ayat Syifaa Al-Quran. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda