Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Lebih 280 kanak-kanak berusia empat hingga 12 Tahun kelmarin menyertai Program Tadabbur for Kids Mock Hajj 2.0 di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.
Program tadabbur bertemakan simulasi haji ini dijayakan oleh 90 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar UNISSA, UBD, PTE, IGS, Politeknik, SMALHB, sekolah-sekolah menengah dan individu perseorangan serta ibu bapa dan keluarga kanak-kanak yang menyertainya.
Pada program itu, anak-anak diajarkan mengenai manasik haji di antaranya tawaf, sa’ie, wukuf di Arafah dan ar-ramyu (melontar). Program dimulakan dengan penerangan ringkas ibadah haji oleh Pengasas Bersama Program Tadabbur and Seerah for Kids, Dr Widad binti Haji Abdul Aziz.
Program ini merupakan kali kedua diadakan selepas tahun 2018 yang dihasratkan mendedahkan kanak-kanak kepada teori dan praktikal haji, mendekati dan mencintai Al-Quran dan sunah bagi golongan muda dan dewasa melalui pemahaman, kecintaan dan amalan.
