Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Program bertadarus dari rumah ke rumah yang merupakan projek Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Sungai Akar, telah diteruskan lagi di rumah salah seorang jemaah MRSB, malam tadi.
Majlis tadarus itu telah dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku Penaung Takmir MRSB serta lebih 60 orang jemaah MRSB.
Program berkenaan bertujuan untuk menanamkan rasa cinta terhadap Al-Quran dan menjunjung hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran tahun 1436H yang menekankan mengenai Al-Quran merupakan cahaya Allah S.W.T dan umat Islam diseru untuk merebut peluang untuk memilikinya dengan timbul rasa cinta terhadap membaca Al-Quran.
