Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Program Tahaddu Tahabbu ke-4 yang bermula 20 November lalu melabuhkan tirainya pada hari ini dengan majlis penutup yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku Katok.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Majlis yang dianjurkan oleh Kelab Belia Remaja Masjid Pengiran Muda Abdul Malik atau lebih dikenali dengan nama Ashabul Haliim tersebut diadakan bagi membantu anak-anak yatim dan golongan keluarga yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan kembali ke sekolah pada tahun hadapan.
Antara sumbangan yang diterima semasa program Tahaddu Tahabbu yang berlangsung selama tiga hari tersebut ialah peralatan sekolah termasuklah alat tulis, buku tulis, set geometri, pensel warna, kalkulator dan juga beg sekolah.
Barang sumbangan berkenaan dikumpulkan hasil daripada sumbangan orang ramai dan diagihkan kepada anak-anak yatim dan orang yang kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan Kampung Tungku dan Kampung Katok.
Dengan penganjuran program seumpamanya diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang kekurangan dan kurang bernasib baik dalam membuat persiapan kembali ke sekolah.
Pada tahun lalu, Kelab Belia Ashabul Haliim telah berjaya mengagihkan barang keperluan persekolahan kepada lebih 140 orang penerima terdiri daripada anak-anak yatim dan orang kurang berkemampuan.
