Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Program Taklimat Induksi selama 10 hari bagi seramai 23 orang pegawai dan tenaga pengajar yang baru berkhidmat di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menutup tirainya dengan majlis penutup yang berlangsung di Auditorium Sekolah Ugama (Arab) Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Dayang Hajijah binti Haji Moktal.
Pemangku Penolong Pengarah Perkhidmatan Korporat, Haji Rosli bin Haji Mohd Salleh, selaku pengerusi majlis semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan, pengisian program tersebut adalah dalam berbentuk taklimat antaranya peraturan am kerja guru-guru agama 1985, penilaian prestasi, skim perkhidmatan guru, perkhidmatan kaunseling dan sebagainya.
Beliau berharap semua pegawai yang mengikuti program itu akan beroleh manfaat dan ilmu yang sangat berfaedah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar sama ada di persekolahan Arab dan agama yang memerlukan komitmen sangat tinggi serta ilmu dalam pelbagai bidang atau jurusan masing-masing bagi mendukung Wawasan Negara 2035 untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan bertamadun.
Justeru jelasnya, negara sangat memerlukan tenaga pelajar yang mempunyai sahsiah yang baik berilmu berpengetahuan yang tinggi dan pendekatan yang mampu melahirkan generasi akan datang bagi menempuh cabaran global yang bermacam-macam sukat untuk ditangkis, kerana itu ilmu pengetahuan sangat diperlukan.



“Maka untuk melahirkan insan yang kamil dengan ilmu agama yang mantap di samping pendidikan umum adalah menjadi tugas dan tanggungjawab bersama terutama biskita yang bergelar pegawai pelajaran atau pegawai pelajaran agama atau guru agama,” tambahnya.
Program yang dikendalikan bersama oleh Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, JPI, KHEU itu bertujuan sebagai langkah menyediakan pegawai dan tenaga pengajar baru dalam mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan am perkhidmatan awam, faedah-faedah di dalam perkhidmatan dan sebagainya.
Di samping itu juga untuk membimbing pegawai dan tenaga pengajar baru dalam memahami dengan lebih jelas tentang misi, visi, fungsi dan peranan Jabatan dan bagi memberikan pendedahan serta kefahaman berkenaan dengan profesionalisme seorang guru dalam mendukung Wawasan Negara 2035 khususnya dalam pendidikan.
Majlis penutup berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil kepada para peserta dan juga pemenang-pemenang Program Retreat (Peserta Induksi) bagi kategori-kategori kumpulan terbaik, penyampai terbaik lelaki, penyampai terbaik perempuan dan kumpulan penjualan produk terbaik.
Penyampai terbaik lelaki dimenangi oleh Awang Nurhazmie bin Haji Razali manakala itu, penyampai terbaik perempuan ialah Dayang Nabilah binti Haji Mohamed.
Kategori kumpulan terbaik pula telah dimenangi oleh Kumpulan Al-Mudarisun Al Mutaqadimmun dan kumpulan penjualan produk terbaik disandang oleh Kumpulan Knock-Knock.