Oleh Salawati Haji Yahya –
BEALIT, 10 NOV – Peserta Program Solat Bersama Mualaf, hari ini, menerima sijil dalam majlis penutup sempena Sambutan Jubli Delima Pusat Dakwah Islamiah (PDI) 1406H-1446H, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta program berkenaan ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penolong Pegawai Ugama, Awang Abdul Khaliq bin Kamree.
Acara diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Unit Dakwah, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, selaku pengerusi program.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program yang diadakan selama dua hari bermula 9 November itu antara lain bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan serta pemahaman yang mendalam kepada para mualaf tentang ajaran agama Islam seperti solat.
Di samping itu, ia juga untuk memberi motivasi dan semangat kepada mereka agar lebih giat untuk terus beramal ibadah dengan menghayati nikmat keagungan beribadah kepada Allah SWT.