Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa telah meneruskan lagi Program Tamu Bahasa secara dalam talian bagi memeriahkan Bulan Bahasa dengan pelbagai kegiatan sama ada bidang bahasa ataupun sastera.
Seramai 68 orang mengikuti penstriman langsung majlis tersebut melalui aplikasi Zoom dan Facebook, yang terdiri daripada rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.
Program Tamu Bahasa kali ini dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa, DBP Brunei Darussalam, Awang Raieham bin Mohd Salleh, manakala itu, pembentangan bertajuk Masalah Asas Kajian Bahasa Melayu yang Kurang Diperhatikan disampaikan oleh Dr Sato Hirobumi sebagai pembicara eksekutif.
Pemakalah merupakan profesor undangan dari Universiti Yala Rajabhat, Thailand.
Bidang kepakaran beliau ialah Fonetik Akustik Berkomputer dan Tatabahasa Bahasa Melayu (Morfologi dan Sintaksis).
Beliau antara lain memperjelas beberapa kajian asas bahasa Melayu dari segi tatabahasa dan fonetik, yang tidak disedari oleh kebanyakan pengkaji bahasa.
Pertama, rumus awalan bahasa Melayu yang berbelit-belit, kedua, pengertian kerangka ayat yang asas dalam bahasa Melayu yang tidak disedari oleh pengkaji bahasa, dan terakhir adalah ungkapan yang disalah-fahami oleh pengkaji generasi tua.
Antara lain objektif Tamu Bahasa ialah mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak untuk menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, membincangkan isu-isu semasa berkaitan bahasa Melayu untuk memantapkan penggunaannya, istilah-istilah baharu dan tulisan Jawi yang menjadi ciri identiti bahasa Melayu, dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua lapisan masyarakat bahawa bahasa Melayu sebagai identiti bangsa Melayu.
