Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tangani isu kesihatan mental pelajar

    Oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seramai 19 pelajar Tahun 9 dan 10 dari Sekolah Menengah Katok (SMK), bersama ahli jawatankuasa pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah mengambil bahagian dalam progam Isu Kesihatan Mental yang berlangsung di sekolah berkenaan baru-baru ini.

    Program anjuran bekas peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-47 (SSEAYP47), dengan sokongan daripada SSEAYP Antarabangsa Brunei Darussalam (BERSATU) sempena Hari Tindakan 2024 itu diadakan bertujuan untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kesihatan mental belia.

    Program bertajuk Isu Kesihatan Mental: Mengurangkan Tekanan Pelajar itu merupakan siri kedua diadakan atas kejayaan program siri pertama pada Jun lalu yang menampilkan forum kesihatan mental dengan sokongan daripada ahli profesional kesihatan mental tempatan di Sekolah Menengah Menglait.

    Hadir pada acara tersebut ialah Pentadbir Kanan SMK, Dayang Norhadzrena binti Johari, diiringi oleh Pemimpin Kebangsaan SSEAYP47, Hajah Siti Shamsiah binti Haji Sajalim yang seterusnya menyampaikan ucapan perasmian.

    Siri kedua program itu menampilkan pelbagai aktiviti yang direka untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, memfokuskan pada mekanisme mengatasi tekanan dan kebimbangan, dan menyediakan alat praktikal untuk kesejahteraan mental jangka panjang.

    Selain itu terdapat juga aktiviti yang diadakan termasuk nasihat menguruskan tekanan peperiksaan, memilih rakan yang betul, dan penyembuhan melalui kaedah ekspresi kreatif seperti seni.

    Kumpulan itu berharap projek tersebut akan melengkapkan belia dengan daya tahan yang mereka perlukan untuk berkembang maju secara akademik dan peribadi, membantu mereka membina asas untuk kesejahteraan mental dan kejayaan jangka panjang.

    Hajah Siti Shamsiah menyampaikan ucapan merasmikan program berkenaan.
    Sesi gambar ramai pelajar yang mengambil bahagian bersama ahli kumpulan SSEAYP – GAMBAR SERAHAN SSEAYP47

       Antara aktiviti semasa program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda