BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Seramai 20 bakal jemaah haji mualaf telah menamatkan Program Tarbiyah Ibadah Haji sempena Musim Haji 1446 Hijrah/2025 Masihi dalam satu majlis penutup yang berlangsung penuh keberkatan di Bilik Mau’izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie.
Program yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf), PDI, itu berlangsung selama dua hari, bermula 6 hingga 7 Mei, dan disertai oleh sembilan peserta lelaki dan 11 peserta perempuan. Kesemua mereka merupakan penerima Kurnia Tambang Fardhu Haji daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil tamat kursus ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan nasihat daripada tetamu kehormat. Penyampaian sijil kepada para peserta menjadi kemuncak acara, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada bakal jemaah mengenai suasana sebenar di Tanah Suci, membimbing mereka secara teori dan praktikal dalam pelaksanaan ibadah haji dan umrah, serta memperkukuh kefahaman fardhu ‘ain agar ibadah dapat ditunaikan dengan sempurna.
Diharapkan para peserta yang telah mengikuti program ini akan dapat melaksanakan ibadah Haji dan Umrah dengan penuh yakin dan tertib, seterusnya memperoleh haji yang mabrur.