Friday, March 28, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program ‘teh bersama pemandu’

    KATHMANDU – Seramai lapan orang maut dan berbelas-belas lagi lainnya hilang selepas sebuah bas menuju ke ibu kota Nepal dari daerah timur terbabas ke Sungai Trishui.

    Menurut laporan daripada pihak polis trafik, kemalangan maut yang melibatkan bas pada waktu malam itu berpunca daripada pemandu bas yang sering mengalami keletihan selepas memandu selama beberapa jam tanpa rehat.

    Menurut laporan itu juga, kebanyakan kemalangan trafik di Nepal berpunca akibat kecuaian para pemandu.

    Oleh itu, sebagai sebahagian daripada program yang dianjurkan oleh Mithila Municipality di daerah Dhanusha dan Pejabat Polis Trafik Wilayah 2, sebuah pusat rehat telah dibuka di Lalgadh sebagai pusat hentian bagi kenderaan pada waktu malam di lebuh raya.

    “Kami menyedari bahawa pemandu sering penat dan mengantuk dalam perjalanan yang jauh. Oleh itu mereka boleh berehat untuk beberapa minit dan minum teh atau air di pusat tersebut.

    Lebuh raya yang panjang di Nepal sering kali menyebabkan para pemandu menjadi mengantuk. Oleh yang demikian, pihak berkuasa telah membuka sebuah pusat rehat bagi mengatasi masalah tersebut. – Agensi

    “Ia akan membantu mereka untuk merehatkan dan menyegarkan diri bagi mengelak daripada perkara yang tidak diingini seperti kemalangan di waktu malam,” kata Hari Narayan Mahato, Datuk Bandar Majlis Perbandaran Mithila memberitahu kepada Xinhua.

    Mahato menambah, polis trafik akan minum teh bersama pemandu-pemandu di pusat tersebut dan berbual-bual bersama mereka untuk mengurangkan tekanan dan membuat program itu lebih efektif.

    “Kami telah melabur lebih AS$1 juta untuk membuka pusat tersebut di mana pusat tersebut bakal menghidangkan teh dan air untuk para pemandu dan ruangan rehat serta tandas awam,” kata Mahat dengan menambah ia merupakan program pertama di wilayah mereka.

    Menurut Pejabat Polis trafik Wilayah 2, tiada kemalangan yang serius berlaku pada waktu malam di lebuh raya timur dan barat sejak adanya program tersebut.

    Pegawai tersebut juga menambah bahawa terdapat lebih daripada 100 bas penumpang, trak dan kenderaan lain-lain yang berhenti di pusat tersebut pada setiap malam.

    Pegawai trafik yang bertugas juga memeriksa dokumen-dokumen rasmi dan memeriksa jumlah pemandu bas di waktu malam.

    Selaras dengan Akta Pengurusan Pengangkutan dan Kenderaan, kenderaan yang dipandu pada jarak jauh memerlukan dua orang pemandu dan menukar giliran untuk memandu setiap enam jam.

    Menurut Polis Nepal, keseluruhan yang terkorban adalah seramai 2,789 orang dalam kemalangan jalan raya pada 2018 hingga 2019, yang mana hampir lapan orang terkorban dicatatkan setiap hari. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda