Oleh Sim Y. H. –
BELAIT, 30 OGOS – Bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh anak-anak kampung dalam hal ehwal pekerjaan, Program Akar Umbi telah diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, hari ini.
Program itu diharapkan dapat memupuk persefahaman, bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan lagi silaturahim bersama penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung selaku pemimpin-pemimpin akar umbi sebagai usaha sama membantu anak-anak kampung untuk menjadi lebih empoyable, marketable serta meningkatkan kemahiran.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Sekretariat Tetap Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam ucapan alu-aluannya.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad. Turut hadir ialah penghulu-penghulu mukim dan pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung serta ketua-ketua rumah panjang (PEKERUPA) Daerah Belait.
Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Dr Hajah Siti Haziah mengongsi bahawa menurut Kajian Tenaga Kerja bagi 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 4.9 peratus pada 2021 kepada 5.2 peratus pada 2022.
Walau bagaimanapun, tambahnya, kadar berkenaan lebih rendah berbanding kadar pengangguran sebanyak 7.3 peratus pada 2020. Bagi menangani isu pekerjaan, kerjasama melalui pendekatan senegara dan seluruh kerajaan adalah sangat diperlukan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung atas penglibatan yang berterusan dalam sama-sama merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Negara 2035, dalam usaha membangunkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Sementara itu, Haji Amirol Hafidzin dalam ucapannya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sekretariat Tetap MPEC atas inisiatif mengadakan program ini ke daerah-daerah dalam menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Beliau juga menyeru kepada ahli-ahli PEKERUPA untuk mengambil kesempatan itu untuk memahami lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif yang dijalankan dan bekerjasama dengan Sekretariat Tetap MPEC untuk sama-sama membantu anak buah kampung dalam meningkatkan kemahiran dan mencari pekerjaan.
Taklimat mengenai Sekretariat Tetap MPEC serta perkhidmatan JobCentre Brunei telah disampaikan oleh Pengiran Hajah Nurul Ihsan binti Pengiran Haji Damit dan Dayang Qairawani binti Haji Yacob dari Sekretariat MPEC.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai penubuhan serta fungsi, peranan dan inisiatif-inisiatifnya, Program Akar Umbi dianjurkan oleh Sekretariat Tetap MPEC, Jabatan Perdana Menteri di mana program itu adalah kesinambungan kepada program yang telah diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada Mei lalu.