Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program terangkan kepentingan solat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) Kampung Sungai Akar, hari ini, telah menganjurkan Program Masjidku Ceria dan Jaulah sempena Israk dan Mikraj, dan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.

    Program yang berlangsung di masjid berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Hadir pada program itu ialah Penaung MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong serta jemaah masjid yang lain.

    Program tersebut antara lain bertujuan untuk menjelaskan konsep tema sambutan Israk dan Mikraj iaitu ‘Sembahyang Meraih Reda Allah’ selain menjelaskan hubungan khusyuk dalam solat, dan konsep Ihsan atau Muhsinun yang tertera dalam bendera negara dalam usaha mencapai kemenangan di dunia dan akhirat.

    Program berkenaan turut diserikan dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang antara lain menggariskan matlamat utama Israk dan Mikraj serta hikmahnya selain matlamat solat.

    Beliau turut menjelaskan mengenai Ihsan dalam solat dan hubungannya dengan slogan ad da’imun al muhsinun bil huda yang tertera dalam panji-panji bendera negara.

    Selain itu, beliau juga mengongsikan mengenai latar belakang kepentingan bendera dalam sirah Rasulullah SAW dan panglima-panglima Islam terkenal pemegang panji bendera dalam sejarah Islam.

    Sejurus selepas ceramah khas, jemaah masjid yang hadir menyertai acara berjalan kaki mengelilingi masjid dan diteruskan dengan acara sukan bebas sebagai pengisian sempena sambutan tersebut.

    Dr Haji Adanan menyampaikan ceramah khas di masjid berkenaan.
    Sesi pemanasan badan yang disertai oleh jemaah masjid.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda