Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Seramai 21 orang belia telah menyertai dan berjaya menamatkan Latihan Kemahiran Hidup (LESTARI) ke-21, 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun bermula 7 hingga 10 Disember.
Program LESTARI yang dilaksanakan oleh Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam merupakan program latihan yang menggabungkan aktiviti dalaman dan luaran yang mencabar para peserta dari segi keupayaan emosi, fizikal dan rohani di mana ia dibukakan kepada remaja dan belia berumur 15 hingga 25 tahun.
Sehubungan itu, majlis penutup dan penyampaian sijil bagi Program LESTARI telah dihadiri dan disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Zainab binti Haji Morshidi.
Turut hadir ialah naib-naib yang di-pertua dan ahli-ahli eksekutif Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam serta ibu bapa para peserta.
Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Yang Di-Pertua (Pentadbiran), Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam, Awang Mohamad Hazrin bin Daud menekankan Program LESTARI memberikan tumpuan kepada individu untuk membuat pilihan yang lebih bijak dengan menerapkan dan mengekalkan sifat-sifat murni, baik serta rasa kekitaan.
Selain itu, ia merupakan satu simulasi mengenai perjalanan hidup yang diolah melalui pelbagai tugasan, penglibatan dan aktiviti yang diibaratkan roller coaster dengan diuji ketahanan mental, fizikal dan emosi supaya mereka bersedia menghadapi kehidupan mendatang. Fasilitator-fasilitator bagi program berkenaan telah mendapatkan latihan bagi mengendalikan program berkenaan dari dalam dan luar negara. Mereka juga terdiri daripada belia yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta dalam pelbagai bidang.
Majlis diteruskan dengan taya-ngan video aktiviti-aktiviti LESTARI diikuti dengan penyampaian sijil oleh Dayang Zainab kepada peserta LESTARI yang dikenali sebagai IONIC 21 dengan moto, Unique, Stronger Together, Unbreakable. Program itu bermatlamat untuk mendidik para peserta dengan kemahiran hidupan dalam persekitaran yang lebih interaktif. Ia juga menggalakkan para remaja dan belia untuk bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.



