Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Program Kursus Pembangunan Modal Insan anjuran Belia Mualaf As-Syahadah, di bawah naungan Urus Setia Program Keagamaan Belia (PKB), Pusat Dakwah Islamiah (PDI),
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah diadakan baru-baru ini, di Dewan Serba guna, PDI.
Pengisian program terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pertama, Kursus Komunikasi Berkesan, disampaikan oleh Penolong Pegawai Latihan, Institut Perkhidmatan Awam
(IPA), Haji Noor Husseini bin Haji Mohd Hussein.
Sesi kedua pula, Pengurusan Emosi Dengan Bijaksana disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan KESAN, Dayang Sarah binti Haji Abdul Mutalif.
Kursus Pembangunan Modal Insan merupakan satu program yang dirancang khusus untuk membekalkan peserta ikon mualaf dengan kemahiran penting bagi meningkatkan interaksi secara efektif.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkaya pemahaman peserta tentang cara-cara meningkatkan kecerdasan emosi mereka di samping meneroka teknik-teknik komunikasi yang berkesan serta strategi bagi mengatasi cabaran dalam interaksi.
Peserta juga diberi peluang untuk mempraktikkan kemahiran berkomunikasi secara kolaboratif dengan menumpu pada teknik-teknik mengenal pasti, mengurus dan memanfaatkan emosi secara konstruktif.
Melalui program itu, peserta akan mempelajari cara-cara memahami dan mengurus emosi diri serta emosi orang lain, yang akan membantu mereka menyelesaikan konflik dengan lebih efektif serta meningkatkan kesejahteraan peribadi dan profesional.