Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Program terokai inovasi terbaharu pertanian

    BEIJING – Kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Beijing terdapat sebuah kebun pic.

    Awda mungkin menganggapnya pemandangan yang indah. Tetapi pemandangan yang indah itu berubah menjadi fiksyen sains kerana dron dan robot digunakan untuk menyembur ladang.

    Di sebalik ladang seluas 3.33 hektar itu terdapat pasukan penyelidik daripada sistem tanpa pemandu untuk pertanian di Universiti Pertanian China.

    Pasukan itu telah membangunkan peralatan berteknologi tinggi untuk meningkatkan kecekapan ladang.

    “Melalui pengurusan digital dan operasi berjentera, kos buruh dapat dikurangkan lebih daripada 50 peratus dan penggunaan racun perosak dan baja dapat dikurangkan sebanyak 30 hingga 40 peratus. Hasilnya, faedah komprehensif dapat di-tingkatkan sebanyak 32.5 peratus,” kata He Xiongkui, seorang profesor universiti.

    Dua pelajar mengikat kad ujian pada pokok kecil di sekolah sistem pertanian Universiti Pertanian China di Beijing. – Gambar ANN/China Daily
    Zhu Zuofeng (kanan), profesor Universiti Pertanian China memeriksa padi aerobik di daerah Pinggu. – Gambar ANN/China Daily
    Wang Cuiyun membincang pelbagai jenis jagung menerusi platform penstriman. – Gambar ANN/China Daily
    He Xiongkui, Ketua sekolah sistem pertanian Universiti Pertanian China. – Gambar ANN/China Daily
    Gambar ANN/China Daily
    Zhang memeriksa peta pengagihan kebun, yang menandakan zon penanaman untuk lebih 1,000 pokok pic. – Gambar ANN/China Daily

    Pasukannya sedang menguji robot baharu yang akan mengendalikan tugas membuang dahan, mencari pic masak dan memetiknya untuk menjimatkan wang dan tenaga kerja.

    Selain He, terdapat 13 ahli akademik dan 411 pelajar PhD pertanian menyertai 117 ladang di daerah Pinggu, Beijing, sejak kerajaan tempatan memulakan program dipanggil ladang PhD pada April tahun lepas, bertujuan menarik pakar dalam bidang pertanian.

    Mereka telah membawa lebih 1,000 jenis benih berkualiti tinggi, termasuk gandum kuda, beras aerobik, sayur-sayuran, buah-buahan dan cendawan ke Pinggu.

    “Kami mahu menjalankan proses terakhir dalam mengubah teknologi baharu menjadi realiti di ladang,” kata Wang Zhenyu, Timbalan Pengarah Biro Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Pinggu.

    Zhou Meiliang, penyelidik dari Akademi Sains Pertanian China, adalah antara kumpulan pertama yang tertarik dengan program ini. Beliau telah memilih benih gandum kuda yang sesuai ditanam di daerah tersebut. Memandangkan gandum kuda ditanam untuk bunga berwarna-warni dan biji yang enak, Zhou berkata ia boleh memberi manfaat kepada pelancongan dan ekonomi penduduk kampung.

    Sepanjang Cuti Hari Kebangsaan yang akan datang pada Oktober, Zhou percaya bahawa bunga yang mekar dengan warna merah, putih dan merah jambu akan menarik perhatian dan membawa lebih ramai orang ke Pinggu.

    Di sebelah ladang gandum kuda Zhou adalah ladang eksperimen padi aerobik yang ditanam oleh Zhu Zuofeng, profesor Universiti Pertanian China. Padi aerobik, juga dikenali sebagai padi tanah tinggi, telah dijadikan tanaman komersial yang boleh ditanam di padang pasir. Oleh itu, ia berpotensi untuk membantu menyelesaikan kekurangan makanan di tempat yang beriklim kering.

    Walaupun memperoleh hasil yang kurang daripada padi tanah pamah, padi aerobik di ladang Zhu menawarkan peluang untuk menanam padi menggunakan kurang air.

    Dalam kata-kata Wang, pakar, seperti Zhu dan Zhou, telah membawa inovasi dan teknologi ke daerah itu.

    “Pelajar dan profesor PhD membawa harapan kepada kampung kami,” kata Wang Yanjin, Ketua Kampung Beitaitou. Apabila teknologi diperkenalkan, penduduk kampung mengembangkan saluran jualan dalam dan luar talian, untuk mempromosikan produk mereka. Setiap hari, Wang Cuiyun, 52, menganjurkan siaran langsung menjual jagung di media sosial.

    “Jagung saya berbeza dengan jagung lain. Apa yang saya promosikan ialah jagung yang ditanam oleh pelajar PhD dan ahli agronomi,” kata wanita itu.

    Jagung itu ditanam oleh pasukan Wang Ronghuan, ketua Pusat Penyelidikan Jagung, Akademi Sains Pertanian dan Perhutanan Beijing. Pasukan itu telah mengubah 13.33 hektar tanah miskin menjadi ladang jagung yang produktif.

    “Pada masa hadapan, Pinggu akan melancarkan lebih banyak dasar untuk menyokong pembangunan ‘ladang PhD’, membiarkan teknologi dan inovasi memberi manfaat kepada setiap petani di daerah itu,” kata Wang Zhenyu. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Banjir kilat bunuh 8, 23 askar hilang

    NEW DELHI, 5 OKT - Hujan lebat secara tiba-tiba mencetuskan banjir kilat kelmarin di timur laut India yang membanjiri beberapa bandar, menghanyutkan sebuah jambatan...