Sunday, September 29, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tingkat kemahiran kepimpinan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Seramai 25 pegawai kanan kerajaan termasuk pegawai beruniform daripada Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah terpilih untuk mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) kali ke-31, pagi ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan program berkenaan Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin.

    Awang Ajman dalam ucapannya menyarankan para peserta untuk meraih peluang yang diberikan dalam meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan diri masing-masing ke arah menjadi pemimpin-pemimpin yang berdaya tahan, berfikiran ke hadapan dan mampu menangani cabaran-cabaran yang semakin rumit seperti perubahan iklim.

    Beliau turut menjelaskan, dunia terus berubah dengan pantas, dan perubahan ini turut memberikan impak besar kepada sektor awam di seluruh dunia, termasuk di negara kita.

    Evolusi perkhidmatan awam bukan sahaja melibatkan perubahan struktur dan fungsi sesebuah organisasi, tetapi juga peranan kepimpinan dalam mendepani cabaran-cabaran semasa yang semakin kompleks dan sukar diramal.

    Gambar ramai peserta yang mengambil bahagian dalam Program EDPSGO kali ke-31 kelmarin. – GAMBAR SERAHAN IPA

    “Ia juga menuntut penyusunan semula organisasi, di mana perkhidmatan awam tidak lagi berfungsi secara silo tetapi beroperasi secara kolaboratif dengan pelbagai sektor, termasuk sektor swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

    Tambahnya, sifat interaktif ini membolehkan kita memanfaatkan sumber, termasuk kepakaran dan pengetahuan dari luar, sekali gus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang awam.

    Sejak mula dikendalikan pada tahun 1996, ini adalah kali kedua EDPSGO dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University Singapura.

    Buat pertama kalinya bagi kohort tahun ini, Chandler Institute of Governance (CIG), Singapura turut dilibat sama selaku fasilitator program.

    Program mendedahkan para peserta secara langsung kepada masyarakat melalui Community Outreach Program (COP) selain menempatkan para peserta di jabatan-jabatan secara internship.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda