Monday, July 21, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tingkat kesedaran HIV di kalangan pelajar

    Oleh Sim Y. H.

    TUTONG, 21 JULAI – Usaha terus dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia menerusi program penyebaran maklumat kepada masyarakat khususnya di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

    Sehubungan dengan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) yang mana ia merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia untuk meningkatkan pengetahuan tentang HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual.

    Program tersebut dikendalikan di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong dengan kehadiran seramai kira-kira 120 pelajar pada 19 Julai lalu.

    Program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kesedaran sekolah berkenaan, juga merupakan sebuah program interaktif menggabungkan audio dan visual serta aktiviti untuk menyampaikan maklumat kepada golongan muda termasuk mesej yang disesuaikan dengan persekitaran tempatan.

    Sesi berkenaan diketuai oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene Mohd Jazlan Kashfi dengan disokong oleh sukarelawan daripada BDAIDS Council.

    Semasa sesi berkenaan, Dayang Siti Kailene menekankan pentingnya kefahaman HIV termasuk bagaimana virus merebak dan langkah untuk mencegahnya selain menghapuskan mitos dan salah faham yang sering dihadapi oleh golongan muda.

    Di samping itu, beliau turut menyentuh mengenai kebimbangan kehamilan remaja dengan menerangkan kesan terhaap kepada emosi, sosial dan fizikal kehidupan golongan muda serta menekankan pentingnya untuk membuat keputusan yang bijak dan mengetahui bagaimana untuk menetapkan batasan yang sihat dalam perhubungan untuk mencegah kehaliman tidak dirancang serta melindungi kesihatan mereka.

    Sesi itu juga mengetengahkan statistik tempatan berkaitan dengan HIV di Brunei, menggariskan perlunya bagi kesedaran dan pendidikan yang lebih meluas. BDAIDS Council berharap para pelajar dapat menyebarkan pengetahuan yang dipelajari daripada sesi berkenaan ke rumah, memanfaatkannya untuk membuat keputusan bijak serta berkongsi pengetahuan mereka dengan ahli keluarga dan rakan sebaya yang lain.

    Antara pelajar yang menyertai program berkenaan.
    Atas & Bawah: Dayang Siti Kailene semasa memberikan penerangan dalam program berkenaan.
    – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BDAIDS COUNCIL

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda