Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tingkat kesedaran keselamatan digital

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebagai komitmen berterusan untuk memupuk kesedaran dan kemahiran literasi digital dalam kalangan warga emas di Negara Brunei Darussalam, Digital Brunei berjaya mengendalikan program pendekatan masyarakat keempat bertempat di Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan 2, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), di sini, program itu dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara, yang dihadiri oleh lebih 50 orang ahli PKWE Brunei Muara.

    Acara itu bermatlamat meningkatkan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan warga emas dan memberikan mereka pandangan praktikal dalam aplikasi-aplikasi digital tempatan.

    Sesi separuh pertama merangkumi taklimat daripada AITI mengenai pentingnya pendaftaran kad SIM untuk membanteras penipuan, diikuti dengan taklimat daripada Pasukan Polis Diraja Brunei mengenai statistik jenayah siber dan pengajian kes di Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, Cyber Security Brunei (CSB) turut menyampaikan taklimat yang mengetengahkan langkah-langkah keselamatan untuk mencegah penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk penipuan.

    Sesi taklimat yang sedang berlangsung. – GAMBAR SERAHAN AITI
    Gambar ramai ahli PKWE Brunei Muara yang menghadiri sesi pendekatan komuniti berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AITI

    Sementara sesi separuh kedua menyaksikan pembentangan daripada Progresif Sdn Bhd mengenai dompet digital iaitu Ding!. Acara diteruskan dengan taklimat daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), memupuk kesedaran mengenai etika digital dan penipuan dalam talian yang sering berlaku pada pelanggan mereka.

    Kementerian Hal Ehwal Ugama mengakhiri sesi berkenaan dengan demonstrasi aplikasi Mushaf Brunei iaitu sebuah aplikasi mudah alih yang membolehkan orang Muslim mengakses Al-Quran secara mudah menggunakan peranti mudah alih.

    Sesi itu bermatlamat membekalkan ilmu pengetahuan praktikal dan bimbangan untuk membantu golongan warga emas mengemudi landskap digital dengan selamat.

    Bergerak ke hadapan, Digital Brunei berhasrat untuk meneruskan sesi pendekatan dengan PKWE di daerah-daerah lain dengan harapan melanjutkan program berkenaan kepada komuniti lain yang mudah terjejas, sekali gus memperkukuh komitmennya untuk menghubungkan jurang digital serta memupuk keterangkuman digital di seluruh negara.

    Digital Brunei merupakan sebuah inisiatif oleh Majlis Ekonomi Digital Brunei, yang dipermudahkan oleh AITI dengan matlamat untuk memperkasa masyarakat menerusi teknologi digital dalam usaha untuk menjana sebuah masyarakat lebih inklusif digital.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda