Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tingkat kompetensi pegawai masjid

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) secara berterusan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kompetensi pegawai masjid, termasuk mengadakan taklimat dan bengkel mengenai peraturan kewangan dengan kerjasama Unit Kewangan Tabung Masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah dan Audit Dalaman Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Selain itu, pegawai masjid baharu juga diberikan taklimat sebelum diaturkan bertugas di masjid-masjid.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskan perkara itu semasa menjawab pertanyaan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai perancangan untuk memastikan imam dan bilal dilengkapi dengan pengetahuan peraturan kewangan, kemampuan untuk berinteraksi secara efektif dengan jemaah dan kemahiran asas pertolongan cemas pada hari ke-10 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan, “Bengkel Pertolongan Cemas juga telah dilaksanakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Daerah Temburong pada tahun 2022 dengan kerjasama Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd yang dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei, dan usaha seumpama ini akan dilaksanakan di daerah-daerah lain,” jelasnya.

    Manakala Bengkel Marsyal Bomba dengan kerjasama HSSE, KHEU dan Pasukan Bomba dan Penyelamat juga telah diadakan pada tahun 2023 dan 2024 di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Lama.

    Selain itu, latihan penyampaian ceramah berkesan secara berterusan telah dilaksanakan oleh Bahagian Bimbingan dan Latihan JHEM dan mereka telah melengkapi pegawai-pegawai masjid dengan latihan inhouse training kendalian Institut Perkhidmatan Awam dan Bahagian Sumber Manusia, KHEU seperti Bengkel Kepimpinan, kursus mengendalikan mesyuarat, penyampaian cemerlang dan sebagainya.

    Untuk langkah ke hadapan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan JHEM merancang program-program kerjasama dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dalam mewujudkan program-program upskilling dan peningkatan kompetensi pegawai-pegawai masjid.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri Persidangan MMN ke-21 kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda