Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tingkat kompetensi pengajaran guru

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Seramai 30 peserta program Pemantapan Pedagogi Guru Agama: Meningkatkan Kompetensi Pengajaran Guru dan Kualiti Pembelajaran Pelajar, hari ini telah menerima sijil masing-masing dalam majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Bilik Ruang Bicara Minda, Bangunan Utama Perpustakaan, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Hadir menyampaikan sijil kepada peserta program ialah Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dr Roslena binti Pehin Datu Indera Sugara Dato Seri Laila Jasa Haji Johari.

    Antara lain tujuan program adalah untuk menyokong pengintegrasian mata pelajaran agama ke dalam sistem pendidikan umum yang telah mula dilaksanakan pada 1 November 2023.

    Manakala antara objektif program itu adalah untuk menyediakan latihan khusus kepada guru-guru agama bagi meningkatkan kompetensi dan kualiti pengajaran pedagogi mengikut kriteria berpusatkan pelajar (Metodologi dan Penilaian) dalam Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.

    Terdahulu, sebelum penyampaian sijil kepada peserta program, majlis dimulakan dengan pembentangan laporan implementasi daripada peserta program, yang terdiri daripada guru-guru agama yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan.

    ATAS & BAWAH : Antara peserta yang menghadiri program berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Pelaksanaan program adalah untuk mengaplikasikan pelbagai alat bantu mengajar (ABM) termasuk penggunaan aplikasi terkini serta mengembangkan kecekapan peserta bagi menyelaras dan mengendalikan latihan serta bimbingan kepada guru-guru agama yang lain di sekolah masing-masing dan kluster.

    Program dilaksanakan melalui tiga fasa utama, di mana fasa pertama melibatkan penyampaian perisian program selama 15 hari, bermula 4 Julai hingga 1 Ogos.

    Manakala fasa kedua pula memfokuskan kepada implementasi perisian di sekolah-sekolah selama enam minggu, iaitu dari 26 Ogos hingga 5 Oktober.

    Sementara fasa ketiga telah melibatkan pembentangan laporan implementasi yang diadakan kelmarin dan hari ini.

    Fasilitator-fasilitator utama bagi program tersebut terdiri daripada pihak Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD iaitu Penolong Profesor selaku penyelaras program, Pengiran Dr Norhazlin binti Pengiran Haji Muhammad; Penolong Profesor, Dr Haji Abu Bakar bin Haji Madin dan tutor, Hajah Zuriyatini Haji Zainal.

    Turut menyertai program sebagai fasilitator jemputan, Pengiran Hajah Mashayu binti Pengiran Haji Yusof dari Pejabat Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan.

    Program berkenaan dianjurkan oleh Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama SHBIE, UBD dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda