Oleh Yusrin Junaidi –
BELAIT, 16 FEB – Menjelang bulan suci Ramadan, pelbagai aktiviti ilmiah telah diadakan oleh beberapa pihak di negara seperti forum ilmiah, ceramah agama dan tazkirah.
Salah satu program ilmiah ‘Rehlah lla Ramadhan’ telah dikelolakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab, Lumut, Daerah Belait dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait pada pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.
Program dikendalikan dalam empat sesi, yang mana sesi ketiga telah diadakan di Masjid Zainab, Lumut, Daerah Belait. Pengisian atur cara termasuk forum bertajuk Isu-isu Semasa Dalam Pembayaran Zakat bersama moderator, Penolong Pegawai Ugama, Pusat Dakwah lslamiah (PDI), Awang Abdul Khaliq bin Kamree.
Manakala dua orang ahli panelnya terdiri daripada Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa dan Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Arif Fakhrullah bin A. Ramlee.
Program ‘Rehlah lla Ramadhan’ bertujuan menyalurkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan pemahaman para hadirin berkenaan ibadah puasa dan amalan-amalan disarankan di bulan Ramadan, selain persiapan menyemarakkan bulan Ramadan yang bakal menjelang.