Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Bagi mempertingkatkan kualiti dan keupayaan murid sekolah secara menyeluruh, Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Madang melancarkan Program Happy School yang berlangsung di STJ PGGMB Madang, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran program ialah Yang Di-Pertua Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.
Turut hadir, Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri, Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirassan, jemputan khas, guru-guru, ibu bapa dan penjaga serta murid-murid sekolah berkenaan.
Pada majlis berkenaan, Guru Besar STJ PGGMB Madang, Awang Ismail bin Haji Tia menggariskan matlamat Program Happy School untuk memberikan keselesaan kepada murid-murid bagi mendapatkan pendidikan yang menyeluruh serta memupuk rasa sayang terhadap sekolah mereka.
Menerusi program itu, tambahnya, pihak sekolah berazam untuk menyediakan prasarana pendidikan yang efektif kepada murid-murid supaya mereka mendapatkan pengajaran dan pembelajaran berkualiti, dinamik dan berkesan.
Ia juga memberikan peluang kepada ibu bapa dan penjaga pelajar untuk sama-sama memainkan peranan dalam memajukan sekolah, meningkatkan tahap pencapaian akademik dan disiplin anak-anak mereka.
Majlis diisikan dengan pelbagai aktiviti untuk murid-murid sekolah termasuk persembahan tarian Samalindang, tayangan klip video Happy School, Public Speaking Tahun 4, tayangan video lakonan Memahami Cikgu Ros, lakonan pentas pelajar-pelajar Tahun 5 serta nyanyian dan tarian murid-murid Tahun 1.