Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Dengan matlamat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan serta meningkatkan taraf hidup rakyat melalui taklimat dan lawatan, seramai 44 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung menyertai Program Masyarakat Bermaklumat.
Sebagai sebahagian daripada program anjuran Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Tutong selama dua hari bermula 7 hingga 8 November itu, para peserta program mengadakan lawatan ke Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN) di Bandar Seri Begawan, hari ini.
Semasa lawatan itu, para peserta berpeluang untuk mendengar taklimat bertajuk, Adat Istiadat Brunei, Bahasa Dalam dan Kepentingannya, Terasul dan Bahasa Pengganti serta Susun Atur dan Kedudukan Pembesar Negara yang disampaikan oleh pegawai JAIN, Haji Hanafiah bin Haji Hamdan dan Awang Mohd Zaizul bin Haji Daud.

Pada sebelah petang pula, program diteruskan dengan taklimat di Dewan Serba Guna, Pusat Penyelidikan Pertanian, Kampung Sinaut, Tutong, bertajuk, Wawasan Brunei 2035 oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Pengiran Khairil Bahriah binti Pengiran Haji Mohd Ali.
Manakala ceramah bertajuk ‘Keusahawanan: Tanaman’ telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Industri Tanaman, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Hirman bin Haji Abu.
Menerusi penyertaan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung dalam Program Masyarakat Bermaklumat itu diharap dapat mengukuhkan lagi jati diri dan menyuntik semangat terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi Negara.