Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), baru-baru ini, telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi para pemenang MD Change Me Challenge yang diadakan untuk menggalakkan hidup sihat.
Majlis yang berlangsung di Student Learning Service Centre, Maktab Duli itu menyaksikan Yeo Su Hui memenangi tempat pertama bagi kategori tenaga pengajar, diikuti oleh Hajah Siti Afsah binti Haji Matassan di tempat kedua dan Dr Haji Sahrunizam bin Haji Kasah di tempat ketiga.
Manakala, bagi Kategori Pelajar, tempat pertama disandang oleh Dayang Fatin Noor Hasibah binti Noor Aflan diikuti oleh Dayang Mahfuzah Wadi’ah binti Mahwadi di tempat kedua dan Dayang Amyra Syahirah binti Haji Awang Ahmad di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad. Turut hadir ialah pihak pengurusan kanan maktab, kaunselor, tutor dan pelajar di maktab tersebut.
MD Change Me Challenge merupakan program penurunan berat badan yang dikendalikan oleh Awang Muhammad Fadilah bin Haji Madali, tenaga pengajar di Jabatan Bahasa Inggeris maktab tersebut dalam mendukung visi Kementerian Kesihatan bersama-sama ke arah negara yang sihat.
Cabaran berkenaan dibukakan untuk semua tenaga pengajar dan pelajar di Maktab Duli yang berlangsung dari 23 Mei hingga 19 Ogos lalu.
