Program vaksinasi pelajar berjalan lancar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun merupakan usaha yang dihasratkan untuk melindungi dan menghindari pelajar daripada COVID-19 dan seterusnya membolehkan mereka untuk hadir ke sekolah apabila ia mula dibuka semula secara berperingkat nanti.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli dalam temu bual ringkas bersama Media Permata semasa pelaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan Pelajar yang berlangsung di Stadium Tertutup, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa program itu akan dijalankan selama tempoh dua minggu di lapan buah pusat vaksinasi di keempat-empat daerah yang telah disediakan di mana jadual-jadual telah diberikan kepada pelajar-pelajar dengan kerjasama ibu bapa hendaklah mematuhi jadual-jadual yang diberikan melalui sekolah masing-masing.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada ibu bapa yang hadir bersama anak mereka untuk menjayakan program vaksinasi kebangsaan di mana ia berjalan dengan lancar iaitu daripada pendaftaran sehingga pemberian vaksin kerana mereka mematuhi jadual yang diberikan.

Mengulas mengenai dengan tujuan program berkenaan, Awang Zainal Abidin menjelaskan bahawa salah satu tujuannya adalah untuk kita sama-sama melindungi para pelajar khususnya apabila pembukaan sekolah secara berfasa akan dapat dilaksanakan bermula 2022.

Awang Zainal Abidin semasa ditemu bual oleh Media Permata menyarankan ibu bapa dan pelajar agar mematuhi jadual yang telah diberikan supaya mereka dapat menerima vaksin secara teratur. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Di harap dengan program ini nanti, semua warga Kementerian Pendidikan terutama guru dan pelajar-pelajar dapat dilindungi serta kita akan dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan keselamatan yang terjamin dan teratur.”

Beliau seterusnya menyarankan kepada ibu bapa dan pelajar untuk memberikan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk bersama-sama mematuhi jadual yang telah diberikan supaya mereka dapat menerima vaksin secara teratur supaya kita dapat mencapai sasaran vaksinasi yang telah ditetapkan.

Sementara itu, menyentuh mengenai dengan sambutan kepada program vaksinasi berkenaan, Awang Zainal Abidin berkata bahawa sambutan daripada ibu bapa adalah amat menggalakkan di mana surat-surat kebenaran yang telah diberikan kepada mereka dan pihak ibu bapa telah memberikan kerjasama yang padu kepada Kementerian Pendidikan dengan memberikan maklum balas yang amat menggalakkan kepada surat-surat kebenaran berkenaan.

Beliau menyatakan harapan dalam tempoh dua minggu, kesemua 38,201 orang pelajar akan menerima vaksinasi mereka jika tidak timbul sebarang isu.

Di samping itu, pihaknya juga telah menerima maklum balas dan kebimbangan daripada pihak ibu bapa mengenai dengan program berkenaan tetapi dengan sokongan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan serta juga penyebaran maklumat yang telus, sahih dan berguna oleh pihak media telah membantu untuk memberikan keyakinan kepada ibu bapa bagi menyokong dan tampil ke hadapan untuk memberikan kebenaran kepada anak-anak mereka menyertai program vaksinasi berkenaan.