Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Program Wakaf Ilmu merupakan sebuah program yang memberikan khidmat kelas tuisyen secara percuma kepada golongan pelajar sasaran.
Projek ini dikendalikan dengan kerjasama pihak Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor Mengkubau dan para sukarelawan Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Jabatan Belia dan Sukan, manakala pengurusan dikendalikan oleh Biro Pendidikan.
Program ini bermula pada 1 Jun lalu sebagai projek ‘pilot’ setelah mendapat maklum balas positif dan sokongan moral daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Program yang menggunakan sumbangan dan dana daripada orang awam ini disertai oleh para pelajar Tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada bulan Oktober ini. Seramai 21 orang pelajar terlibat terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan telah dikenal pasti oleh Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan Awam MPK Panchor Mengkubau.

Sebagai projek ‘pilot’, program ini memberikan khidmat tuisyen mata pelajaran Matematik berdasarkan prestasi pelajar secara keseluruhan yang dilihat lebih memerlukan tambahan tunjuk ajar dan pemerhatian dalam mata pelajaran berkenaan.
Dua orang guru belia sukarelawan KKBT di bawah seliaan Teachmeguru turut terlibat dalam pelaksanaan program ini yang akan diadakan sehingga bulan Oktober nanti.
Kelas tuisyen di Dewan Kemasyarakatan Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri berkenaan dilaksanakan dalam dua sesi setiap hari Jumaat bermula dari jam 3 petang sehingga 4 petang dan sesi kedua bermula dari jam 4:15 petang hingga 5:15 petang.
Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak yang berkepentingan seperti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Daerah Brunei dan Muara.