BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Progresif telah mengumumkan satu inisiatif baharu untuk membantu menyediakan sokongan lanjut kepada perusahaan kecil tempatan dan melibatkan masyarakat dalam usaha tanggungjawab sosial korporat mereka.
Pada 2 September ini, Progresif menjemput orang ramai ke acara Pasar Petani Ahad yang julung-julung kalinya diadakan di mana pelbagai aktiviti diadakan di samping jualan makanan, hasil pertanian dan barangan lain oleh perusahaan tempatan dan para petani.
Progresif dalam kenyataannya hari ini, menjelaskan bahawa acara berkenaan diadakan di Ibu Pejabat Progresif dengan Scavenger Hunt diikuti persembahan-persembahan oleh artis-artis tempatan termasuk The TV, Nas Suhaili dan Docklands.
Para pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai produk daripada pengusaha tempatan atau pergi ke bahagian jualan garaj untuk mendapatkan barangan terpakai.
Ketua Pegawai Pemasaran Progresif, Devin Edwards dipetik sebagai berkata, “Acara ini bertujuan untuk menggabungkan semua perkara yang kami minati dan semua cara kami untuk memberi balik kepada masyarakat dengan menyokong seni dan kebudayaan, pendidikan, keusahawanan dan alam sekitar.
“Kami mahu melihat acara ini berkembang dari segi saiz dan kekerapannya dengan tema-tema berlainan untuk melibatkan pelbagai perniagaan, aktiviti dan komuniti di seluruh Brunei,” tambahnya.
Ujarnya lagi, “Kami teruja kerana berpeluang untuk menganjurkan acara Pasar Petani Ahad pertama kami di samping Big Begawan Cookout dan kami tidak sabar untuk menganjurkan acara-acara lebih menarik seperti ini pada masa depan.”