Friday, October 18, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Progresif, BELTS derma data kepada Pusat YASKA

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Progresif Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan kerjasamanya dengan Brunei Engineering, Logistics and Training Solutions (BELTS) dalam kempen Derma Data Progresif (Fasa 2), satu inisiatif yang dipelopori oleh Progresif untuk memperkasakan belia celik digital melalui ketersambungan yang lebih baik dan memastikan keterangkuman untuk semua jenis pembelajaran dan pendidikan.

    Menurut Progresif, BELTS menyertai barisan syarikat yang berdedikasi untuk menyokong pembelajaran dan pendidikan di Brunei melalui inisiatif tersebut, mempamerkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial dan memupuk masyarakat inklusif secara digital.

    Majlis serah terima yang diadakan kelmarin dan dihadiri oleh wakil-wakil termasuk Presiden Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), Dayang Tsara’Nawwarah binti Abdullah Chen; Ketua Pegawai Eksekutif BELTS, Awang Muhammad Noh bin Haji Madali dan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar itu menandakan satu peristiwa penting dalam memajukan sambungan digital untuk pendidikan di Brunei.

    Hajah Nurul Haniah berkata, “Kami berbesar hati mengalu-alukan BELTS sebagai penyumbang utama kempen ini. Penajaan mereka terhadap Pusat YASKA Brunei menunjukkan impak positif yang boleh diberikan oleh entiti korporat terhadap pendidikan dengan ketersambungan dalam masyarakat kita, menyediakan peluang yang tidak terhad kepada pelajar sama ada di sekolah atau pusat istimewa seperti ini untuk mengakses pendidikan”.

    BELTS, dengan kerjasama Progresif akan menjanakan sambungan Wi-Fi untuk tempoh dua tahun bagi Pusat YASKA Brunei di Kampung Kiarong.

    Serah terima disempurnakan oleh Awang Muhammad Noh kepada Presiden YASKA yang disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif. – GAMBAR SERAHAN PROGRESIF

    Awang Muhammad Noh berkata, “Kerjasama kami dengan Progresif dan YASKA amat bermakna untuk masyarakat kita, terutamanya bagi institusi seperti YASKA. Dengan meningkatkan ketersambungan digital di Pusat YASKA Brunei, kami memperkasakan pelajar dengan peralatan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam dunia digital hari ini.

    “Perkongsian itu menekankan komitmen kami untuk merapatkan jurang digital dan memastikan semua pelajar mempunyai akses yang sama kepada pendidikan berkualiti. Kami teruja dengan kemungkinan yang dibawa oleh kerjasama ini dan berharap untuk menyaksikan impak transformatif yang akan ada pada landskap pendidikan di Brunei,” tambahnya.

    Kerjasama itu menonjolkan kepentingan kesan positif yang dijangkakan kepada pengalaman pendidikan di Pusat YASKA Brunei. Para jemputan berpeluang menyaksikan pelancaran persediaan ketersambungan yang dipertingkatkan dan faedah segeranya untuk pelajar.

    Konsultan Onkologi Pediatrik, Penasihat Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan YASKA, Dr Hajah Norehan mengongsikan, setiap tahun, sebilangan kanak-kanak dan keluarga mereka menghadapi realiti pahit dalam diagnosis kanser.

    “Kesan emosional ke atas keluarga itu tidak dapat diukur. Segala sokongan awda terhadap kanser kanak-kanak telah menjadi mercu tanda harapan untuk kanak-kanak itu, menawarkan mereka peluang untuk masa depan yang lebih cerah dan membantu meningkatkan kesedaran tentang kanser kanak-kanak. Bersama-sama, kita boleh mencipta dunia di mana tiada kanak-kanak perlu menghadapi kanser sendirian,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda