Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Progresif, BIBD At-Tamwil meterai MoU

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Progresif Sdn Bhd dan BIBD At-Tamwil Berhad, sebuah anak syarikat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), memeterai kerjasama menerusi penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) ke arah Pembiayaan Produk Pengguna apabila membeli peranti daripada jenama telekomunikasi berkenaan.

    Majlis penandatanganan MoU di antara Progresif dan BIBD At-Tamwil berlangsung di Ibu Pejabat Progresif, Gadong, hari ini.

    Di majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak Progresif ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dan bagi pihak BIBD At-Tamwil ialah Pengarah Urusan, Haji Muhammad Said bin Haji Zania, di mana perjanjian yang dimeterai merupakan kolaborasi jangka panjang yang akan memperuntukkan Progresif sebagai syarikat telekomunikasi tempatan pilihan bagi promosi.

    Di bawah skim berkenaan, BIBD At-Tamwil akan menyediakan kemudahan Pembiayaan Produk Pengguna (CPF) bagi membolehkan para pelanggan membeli telefon bimbit, router dan peranti lain yang baharu daripada Progresif, dengan keupayaan untuk membayar dalam ansuran bulanan sehingga bil mereka dijelaskan.

    Di samping itu, bagi bulan pertama perjanjian baharu, pelanggan yang memohon bagi CPF akan mendapat pengecualian dari membayar yuran pemprosesan.

    Hajah Nurul Haniah berkata bukan sahaja pelanggan BIBD boleh memohon bagi mendapatkan CPF menerusi BIBD At-Tamwil, Progresif juga akan dapat menyediakan kelulusan permohonan secara langsung, menambah kemudahan kepada pelanggan mereka.

    Matlamat kedua-dua buah syarikat, jelasnya lagi, adalah untuk terus memperkemaskan prosedur dan promosi yang ditawarkan supaya pendekatan berpusat kepada pelanggan, memberikan mereka

    pengalaman pembelian inovatif. Menurut pihak Progresif, perjanjian dan tawaran itu akan bermula pada hujung Oktober ini dan para pelanggan boleh berkunjung ke mana-mana kedai Progresif atau laman sesawang untuk mengetahui lebih lanjut lagi. Tawaran berkenaan berakhir pada akhir November.

    Hajah Nurul Haniah (dua dari kanan) dan Haji Muhammad Said (dua dari kiri) menandatangani memorandum persefahaman pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif, Gadong, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda