Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Progresif Sdn Bhd menganjurkan majlis penyampaian hadiah pertamanya bagi kempen Big Win selama setahun, di mana 27 pemenang bertuah menerima peranti terkini dan hadiah wang tunai termasuk hadiah utama $15,000.
Kempen, yang berlangsung sehingga 1 Disember 2025 dan menyokong inisiatif pendaftaran semula SIM prabayar kebangsaan Brunei, telah menyaksikan lebih 35,000 penyertaan sejak pelancarannya pada Januari lalu.
Cabutan nama-nama bertuah telah dilaksanakan menerusi sesi siaran langsung dalam Instagram rasmi Progresif pada 16 Mei lalu, diikuti dengan majlis penyampaian hadiah berlangung di Progresif Cawangan The Mall, pada 23 Mei, baru-baru ini.
Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar mengungkapkan penghargaan terima kasih yang mana kempen berkenaan adalah tentang meraikan para pelanggan yang membentuk komuniti Progresif tidak kiralah mereka yang baru mahupun yang sudah bertahun-tahun menyertai Progresif.
Majlis penyampaian hadiah mengikut format yang dinamik, di mana bagi setiap kategori hadiah, seorang penyampai dijemput ke atas pentas untuk menarik nama pemenang dari kotak. Lima nama pertama yang bertuah menerima Samsung Galaxy Tablets, diikuti oleh televisyen TCL, telefon Samsung A55, komputer riba MSI dan iPhone 16.

Begitu dinantikan pada majlis berkenaan ialah pengumuman para pemenang hadiah wang tunai iaitu tiga hadiah wang tunai sebanyak $2,500, dua hadiah wang tunai sebanyak $5,000 dan satu hadiah utama wang tunai sebanyak $15,000.
Antara yang menarik ialah kisah Dayang Wan Norhaizaizzati binti Mohamad Irwan, selaku pemenang hadiah utama, yang membawa pulang $15,000 dengan berkongsi luahan dirinya tidak menjangkakan penerimaan cabutan hadiah bertuah dan merakamkan terima kasih kepada Progresif.
“Saya memberikan separuh daripadanya kepada ibu saya sebagai hadiah Hari Ibu,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pemenang hadiah wang tunai $5,000, Haji Jafrin bin Haji Mat Jahit berkata beliau secara jujur terkejut, tidak menyangka langsung namun percaya pada doa, rezeki dan amanah Progresif untuk mewujudkan impian menjadi kenyataan.
“Saya simpan ke tabung haji, ia membawa perubahan besar dalam membantu membuat persiapan haji atau umrah, Insya Allah. Ia juga datang pada masa yang sesuai, kerana kami merancang percutian keluarga ke Hong Kong semasa cuti sekolah pada Jun ini,” kongsinya.
Dayangku Qistina binti Pengiran Hassanan yang menerima hadiah wang tunai $2,500, turut berkongsi dirinya yang sedang menikmati makan malam bersama ahli keluarga pada ketika itu apabila pihak Progresif memberitahu berita gembira bakal menang dan berpeluang memenangi $15,000. Beliau turut merancang akan menggunakan hadiah itu untuk membawa keluarganya untuk makan atau mungkin juga staycation.
Pemenang lain termasuk Awang Muhammad Salihin bin Mohd Pauzi selaku penerima hadiah komputer riba MSI, yang mana dirinya telah bersama Progresif sejak 2018, dan pastinya komputer riba berkenaan akan digunakan untuk menyokong pembelajaran anak-anak beliau.
Kempen Big Win diteruskan dengan kitaran kedua pada bulan Ogos dan cabutan terakhir pada bulan Disember, menawarkan lebih banyak peluang kepada pelanggan untuk menang.
Pelanggan dimasukkan secara automatik apabila mereka daftarkan semula SIM prabayar mereka, tukar kepada Progresif, atau daftar untuk sebarang pelan pascabayar atau fixed
baharu.

