Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Progresif lancar kedai bergerak

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Progresif Sdn Bhd memperkenalkan kenderaan jualan khas iaitu Kedai Bergerak Progresif (Progresif Mobile Store) yang dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Jalan Menteri Besar, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran kenderaan jualan Progresif berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; Pengarah Lembaga Progresif, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adnan, pegawai-pegawai kanan MTIC, Progresif dan pihak pengurusan GHK Motors Sdn Bhd.

    Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada pelan transformasi runcit Progresif yang sedang berjalan di mana kenderaan jualan Progresif itu dihasratkan untuk digunakan sebagai sebuah kedai bergerak oleh Pasukan Jualan Jalan Progresif.

    Skop penuh perkembangan transformasi runcit Progresif dan tawaran baharu menariknya dapat disaksikan oleh jemputan semasa lawatan ke Pameran Progresif di MTIC.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika melancarkan Kedai Bergerak Progresif sambil disaksikan oleh Hajah Nurul Haniah dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin di MTIC, Jalan Menteri Besar, kelmarin.
    Kenderaan Kedai Bergerak Progresif yang dilancarkan pada majlis berkenaan, kelmarin.

    Lahir daripada komitmen berterusan syarikat media dan infokomunikasi itu untuk sentiasa menjadi jenama yang selalu memacu kemajuan, kedai bergerak itu merupakan langkah ke hadapan dalam usaha Progresif untuk mentransformasikan kaedah syarikat berkenaan berinteraksi dengan pelanggan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam ucapannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa runcit abad ke-21 sebenar bermakna menjadikan produk dan perkhidmatan mereka lebih mudah diakses oleh komuniti yang diberikan khidmat, dalam komuniti itu sebenar.

    Beliau berkata sudah tiada lagi istilah di mana pelanggan mencari syarikat berkenaan kerana Internet telah merubah dinamik runcit moden dan Progresif terus bersedia untuk berubah serta terus memacu kemajuan.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dan para jemputan diberikan penerangan dan menyaksikan dengan lebih dekat ciri-ciri yang terdapat dalam kenderaan jualan berkenaan termasuk barangan yang diperlukan untuk membina sebuah kedai pop-up di mana-mana sahaja di Brunei.

    Antara yang terdapat dalam kenderaan jualan berkenaan ialah generator, skrin, kerusi, meja dan kanopi jenama serta lebih banyak lagi yang akan diumumkan dalam masa yang terdekat dengan Progresif akan mempunyai keberadaan di setiap pelosok negara.

    Dengan pelancaran Kedai Flagship Experience Progresif di Pusat Membeli-belah Progresif dan pelancaran pelan WiFi Rumah, faster speeds, bigger data, better prices, pelancaran kenderaan jualan berkenaan adalah amat bertepatan dengan matlamat syarikat untuk menjadi 2021 sebagai tahun penuh dinamik dan proaktif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda