Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 28 Feb – Penduduk sekitar kawasan dan pengguna Lebuh Raya Telisai-Lumut boleh menerima liputan rangkaian telefon bimbit yang lebih baik apabila Progresif mencatatkan satu lagi mercu tanda penting dalam usaha berterusannya bagi rancangan perkembangan rangkaian dengan pelancaran menara baharu di Lebuh Raya Telisai-Lumut, hari ini.
Dengan adanya menara baharu itu, ia akan meningkatkan liputan dan kesalinghubungan bagi kawasan berkenaan. Menara baharu itu merupakan sebahagian daripada rancangan pengembangan rangkaian bagi Telisai di mana ia bakal menyaksikan keseluruhannya tiga menara baharu dilancarkan di kawasan berkenaan untuk memperbaiki lagi liputan dan mengukuhkan lagi pengalaman bagi pelanggan-pelanggan Progresif.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Taylor dalam ucapannya di Majlis Perasmian Menara Lebuh Raya Telisai-Lumut di Telisai, Daerah Tutong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyempurnakan perasmian menara berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Haji Azhar Haji Ahmad.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, ahli Lembaga Progresif, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohd Zain Pengiran Haji Abdul Razak serta pegawai-pegawai kanan Progresif.


Paul Taylor dalam ucapannya menyatakan bahawa kawasan lebuh raya merupakan salah satu kawasan yang harus mempunyai hubungan mudah alih dan dengan adanya menara baharu berkenaan akan membolehkan semua pengguna lebuh raya serta komuniti setempat untuk mendapat liputan.
Beliau berkata lagi bahawa pada masa ini, Progresif mempunyai lebih 250 buah kawasan di seluruh negara dan pada masa ini, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 160,000 orang pelanggan yang terus meningkat.
Dengan peningkatan jumlah pelanggan itu, ulasnya lagi, ia memberikan dorongan kepada mereka untuk terus meningkatkan lagi liputan serta perkhidmatan yang diberikan terutama di kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan seperti di kawasan lebuh raya berkenaan.
Dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, jelasnya, Progresif telah menambah empat kawasan baharu setiap bulan kepada rangkaian mereka dan baharu-baharu ini telah melaburkan kira-kira $2 juta untuk meningkatkan lagi keupayaan bagi pelanggan mereka di lebih 120 buah kawasan yang sedia ada.
Pada masa yang sama, Progresif turut meningkatkan keupayaan rangkaian daratnya bagi memperbaiki lagi pengalaman pengguna di 52 buah kawasan. Pelaburan itu, diterajui dua matlamat utama iaitu untuk menyediakan lebih banyak kawasan liputan dan untuk memperbaiki lagi pengalaman pelanggan di kawasan-kawasan yang mempunyai liputan.
Mengulas mengenai menara baharu itu, Paul Taylor berkata, ia merupakan menara atau mercu tanda pertama daripada tiga mercu tanda yang akan diperkenalkan di sekitar kawasan Lebuh Raya Telisai-Lumut.
Beliau menerangkan bahawa projek pembinaan menara diberikan kepada Alan Dick (Brunei) Sdn Bhd di mana kerja-kerja pembinaan bermula pada September 2017 dan selesai pada Januari lalu.
Beliau mengambil maklum bahawa ICT memainkan peranan yang penting dalam pembangunan serta memperkasakan lagi ekonomi digital negara dan oleh itu, Progresif adalah komited untuk memainkan peranan dalam pembangunan negara.
Majlis diteruskan dengan perasmian menara yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Haji Ramli, Haji Azhar, Dr. Nor Imtihan, Paul Taylor dan Awang Edzwan Zukri.
Yang Berhormat Haji Ramli dalam temu bual ringkas bersama Media Permata selepas majlis berkenaan, menyatakan rasa penghargaan kepada pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta semua pihak yang terlibat di atas keprihatinan mereka untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya bagi pengguna lebuh raya serta penduduk setempat.
Beliau berkata bahawa dengan adanya menara baharu itu, setentunya ia akan meningkatkan liputan pengguna telefon bimbit di kawasan berkenaan serta memudahkan para pengguna untuk membuat panggilan jika berlaku sebarang kecemasan.
Beliau turut menyatakan harapan supaya usaha untuk meningkatkan liputan dan rangkaian juga boleh dilaksanakan bagi penduduk di sekitar kawasan Kampung Danau.
Manakala itu, Ketua Teknologi dan Pegawai Maklumat Progresif, Tony Hanley dipetik menyatakan bahawa Progresif terus bekerja keras untuk meningkatkan keupayaan keseluruhan rangkaian mereka dengan sebanyak 50 peratus dan untuk membangunkan kawasan baharu di kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan seperti di Daerah Temburong.
Beliau juga menyatakan bahawa mereka sedang merancang untuk meningkatkan lagi rangkaian mereka di lebih banyak kawasan pendalaman di negara ini supaya lebih ramai penduduk Brunei akan mendapat akses kepada komunikasi menerusi rangkaian Progresif.