Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Progresif Sdn Bhd mengumumkan bahawa Progresif Media serba baharu kini telah dilancarkan semula dengan ciri-ciri menarik, dimuatkan kandungan berunsur orang Brunei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Progresif, di sini, kelmarin, Progresif Media serba baharu itu dihasratkan menjadi pusat kandungan buatan Brunei dan menampilkan karya asli Progresif Media yang menarik, video permintaan daripada klasik RTB seperti Bintang Kecil dan Bintang Remaja.
Platform penstriman itu juga akan menampilkan rancangan radio langsung dan podcast radio dengan pelbagai genre kandungan termasuk gaya hidup, budaya, perniagaan, muzik, dan sukan.
Platform Progresif Media serba baharu itu juga akan dikembangkan ke IOS dan Android tidak lama lagi. Pendaftaran ke platform dapat dilakukan dengan mudah hanya dengan memasukkan alamat e-mel yang sah.
Pegawai Komersial dan Digital Progresif, Awang Adi Iskandar bin Haji Basri dipetik menyatakan bahawa sebagai salah satu tonggak tanggungjawab sosial korporat (CSR) Progresif, menyokong seni dan budaya telah menjadi tumpuan mereka selama ini dan menyokong para pencipta tempatan.
“Kami sangat komited untuk memberikan platform kepada pencipta tempatan mempamerkan dan berkongsi cerita mereka, jadi kami telah menemui lebih banyak cara agar penonton dapat mengakses platform dan memberi peluang kepada para pencipta untuk memperluas penayangan mereka,” tambah beliau.
Didorong oleh komitmen untuk pencipta kandungan semasa dan masa depan tempatan di Brunei dan pusat kandungan Brunei, Progresif Media bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) bagi inisiatif pembuatan filem Pitch and Produce yang menyaksikan produk lapan siri oleh lapan syarikat produksi bebas seperti Otter Co Studios, Bruhaha Comedy dan Visual Dimensions.
Penonton dapat menonton siri baharu secara eksklusif di platform Progresif Media selepas pelancaran.
