Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Bagi meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Progresif Sdn Bhd memberikan peket merah dan buah oren mandarin kepada pelanggan di kesemua cawangannya.
Ketua Pengguna Progresif, Dayang Rahimah binti Kisut mengalu-alukan kedatangan para pelanggan di cawangan Yayasan.
Dalam kenyataannya, beliau mengatakan bahawa ia adalah peluang terbaik bagi mereka untuk mengucapkan terima kasih dan menghargai sokongan berterusan para pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pengalaman Pelanggan, Dayang Edna Nurafeeqah binti Abdul Ghani Luah yang menyampaikan cenderamata kepada para pelanggan Progresif di cawangan Times Square turut mengongsikan bahawa kedai mereka memainkan peranan penting dalam memastikan pelanggan Progresif sentiasa berhubung.
Di samping itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja terutamanya atas kerja keras dan komitmen mereka dalam mengutamakan keperluan pelanggan Progresif.
Sebagai menyokong salah satu daripada empat komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu kemajuan seni dan budaya, Progresif meneruskan tradisi tahunannya untuk menyokong artis tempatan pada setiap musim perayaan. Kali ini dengan kerjasama lima artis dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam menghasilkan peket TBC yang luar biasa.
Tahun ini, Progresif bekerjasama dengan Lim Sye Wen, Norhadi Ibrahim, Ridhwansabri Haji Hashim, Fuad Danny dan Fatin Afiqah untuk mencipta rekaan yang menampilkan ciri-ciri harimau bagi meraikan kekuatan, keberanian, dan daya tahan dalam masyarakat pada musim perayaan.
Pelanggan Progresif akan mendapat peket tersebut apabila mereka membayar bil, melanggan, bertukar atau kontrak semula kepada Progresif di semua cawangannya sementara stok masih ada.
