BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Progresif Cellular, baru-baru ini, telah bekerjasama dengan lima artis tempatan untuk menghasilkan sampul Hari Raya edisi terkini bagi musim perayaan ini.
Menurut kenyataan Progresif, perkongsian kreatif bersama Nazreen Amin, Siti Kamilah Haji Azrae, Shauqi Mohammad, Miqdam Zaini dan Siti Rawini Sulaiman itu menampilkan rekaan menarik yang diinspirasikan daripada interpretasi moden dan tradisi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Brunei.
Setiap rekaan menggambarkan elemen utama bagaimana Hari Raya diraikan di negara ini, daripada inspirasi memori zaman kanak-kanak Shauqi hingga imaginasi Siti Kamilah mengenai kain tenunan.
Ketua Pegawai Pemasaran di Progresif, Devin Edwards dipetik sebagai berkata, “Kami berbangga untuk mengatakan bahawa ini adalah tahun kedua kami bekerjasama dengan artis-artis tempatan untuk menghasilkan sampul-sampul Hari Raya unik. Setiap perkongsian dengan artis mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menyokong perkembangan seni dan kebudayaan di Brunei.
“Kami berharap bahawa kerjasama sedemikian akan menggalakkan suasana kreatif tempatan dan menyediakan saluran bagi pertumbuhan mereka yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Brunei,” tambahnya lagi.
Progresif menyatakan bahawa sampul-sampul Hari Raya berkenaan boleh didapati di cawangan-cawangan Progresif.
