Thursday, January 9, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Progresif tawar perkhidmatan sekuriti siber SOC

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Ancaman sekuriti siber merupakan satu kebimbangan yang terus meningkat bagi kebanyakan negara dengan teknologi semakin berintegrasi dalam kehidupan seharian dan operasi perniagaan.

    Di Negara Brunei Darussalam, kita telah menyaksikan peningkatan dalam ancaman sekuriti siber dan dalam hubungan itu, Progresif dengan kerjasama ST Engineering bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi-organisasi untuk menangani ancaman-ancaman berkenaan dengan menawarkan perkhidmatan Pusat Operasi Sekuriti (SOC).

    Penekanan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dalam ucapan alu-aluannya di Progresif Enterprise Showcase yang berlangsung di Dewan Munawwarrah, Setia Point, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian Progresif Enterprise Showcase ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Acara yang dihadiri lebih 200 orang jemputan daripada sektor awam dan swasta itu bermatlamat untuk mengetengahkan pelbagai penyelesaian perusahaan yang ditawarkan oleh Progresif.

    Ir Haji Mohammad Nazri merasmikan Progresif Enterprise Showcase, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Ir Haji Mohammad Nazri hadir di majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Di antara yang menghadiri Progresif Enterprise Showcase, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Ia juga menyaksikan penyertaan rakan-rakan kongsi yang lain termasuk Huawei, Alibaba Cloud, Microsoft, UNN, UKAP, Netcom, POSx, Folec dan Brunei Cybersecurity Association (BCSA).

    Dalam ucapannya lagi, Hajah Nurul Haniah menjelaskan berikutan pengumuman kerjasama mereka dengan ST Engineering pada September lalu, Progresif secara pro-aktif akan memainkan peranan yang lebih utama dalam menyediakan perkhidmatan SOC bagi pasaran Brunei.

    Beliau menambah usaha memastikan rangkaian selamat dan kelangsungan perniagaan adalah amat kritikal dan Progresif akan memainkan peranan lebih utama kepada agenda negara dalam mempromosikan kepentingan sekuriti siber dalam landskap digital dan meningkatkan kefahaman serta pelaksanaan langkah-langkah sekuriti siber efektif dalam kalangan organisasi tempatan.

    Pada acara itu, Presiden Siber, ST Engineering, Goh Eng Choon menyatakan kerjasama dengan Progresif merupakan langkah strategik untuk mempertingkat landskap sekuriti siber Brunei.

    Beliau menambah amalan siber sekuriti ST Engineering, bergabung dengan pengalaman meluas Progresif dalam pelbagai sektor termasuk telekomunikasi, perbankan dan kerajaan di Brunei, akan membolehkan pembangunan perkhidmatan SOC berpandukan AI.

    Perkhidmatan berkenaan, tegasnya, bermatlamat untuk melindungi infrastruktur kritikal, memastikan kelangsungan perniagaan dan membuka ruang bagi transformasi digital yang berdaya tahan.

    Progresif Enterprise Showcase menyediakan peluang bagi organisasi-organisasi di Brunei melihat lebih dekat penyelesaian perusahaan yang ditawarkan oleh Progresif dan rakan-rakan kongsi utamanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda