BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Progresif Cellular Sdn Bhd telah mengumumkan pelancaran Pelan Tanpa Had baru yang menyediakan pelanggan dengan data, panggilan ringkas tanpa had pada harga hanya $90 sebulan.
Dalam kenyataannya mengumumkan pelancaran pelan berkenaan, kelmarin, Progresif menjelaskan bahawa pelan berkenaan direka jelas dan mudah supaya para pengguna tidak perlu bimbang mengenai penggunaan bulanannya atau terkejut dengan bayaran tersembunyi atau berlebihan apabila menerima bil.
Pengurus Perhubungan Korporat, Dayang Hafiza binti Mohamad dipetik sebagai berkata, “Pelan ini direka sebagai sebahagian daripada strategi berterusan kami untuk menjadikan komunikasi boleh diakses dan mudah bagi semua orang.
“Kami menghabiskan masa yang lama bercakap dan mendengar pelanggan kami, jadi kami mahu kekal berhubung dan menyediakan apa yang mereka mahukan daripada menggunakan pendekatan satu saiz sesuai untuk semua dengan pakej-pakej yang mungkin tidak menangani keperluan pelanggan dan kerap boleh mengelirukan,” tambahnya.
Menurut Progresif lagi, pelan baru berkenaan tersedia bagi pelanggan prabayar dan pasca bayar serta direka untuk memudahkan semua pengguna, jadi jika $90 tidak sesuai dengan bajet pengguna, mereka boleh mendapatkan panggilan dan pesanan ringkas tempatan tanpa had pada harga $20 kemudian tambah nilai data sebanyak yang dimahukan.
Dalam pada itu, Progresif juga melaporkan mengenai penyiapan enam tapak sel tambahan dalam dua bulan kebelakangan ini dan melaporkan jumlah pelanggan yang bertambah dengan 150,000 pelanggan aktif.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Roger Plahay berkata, “Tatkala Progresif terus berkembang dan membangunkan rangkaian, kami bermatlamat untuk terus menyediakan nilai baik bagi pelanggan selaras dengan kualiti perkhidmatan kami yang bertambah baik.
“Pertumbuhan rangkaian kami, bagi liputan dan kapasiti, adalah penting untuk memulakan percubaan-percubaan bagi 4G, jadi apabila dilancarkan kami menyediakan pengalaman yang diinginkan dan layak bagi pelanggan kami,” ujarnya lagi dalam kenyataan itu.
Pelan Tanpa Had baru itu disediakan bermula hari ini dan pelanggan boleh mendaftar atau meningkatkan pelan mereka di mana-mana Kedai Progresif.