Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Sukan seni bela diri di Brunei kini semakin berkembang apabila Project Mayhem Fight Lab, hari ini, membuka cawangannya yang kedua di Kompleks Setia Kenangan II, Kiulap.
Berbanding dengan cawangan pertamanya di Seria yang lebih kepada latihan seni bela diri seperti Brazilian Jiujitsu (BJJ), cawangan mereka di ibu negara ini adalah lebih memfokuskan kepada latihan sukan tinju terutama latihan Muay Thai, kick boxing dan tinju.
“Pada hujung tahun lepas, saya memutuskan untuk membuka cawangan di kawasan Bandar Seri Begawan dan memilih kawasan sini memandangkan keadaan di sini adalah bagus,” jelas Pemilik dan Pelatih Project Mayhem Fight Lab, Aaron Lim.
“Dengan peralatan yang cukup untuk menjalankan latihan, akhirnya pada hari ini kami mula beroperasi secara sepenuhnya pada hari pembukaan ini,” katanya.
Menurut beliau, sukan tersebut yang fokus kepada seni bela diri secara berdiri bermanfaat bagi kecergasan bagi mereka yang baru hendak bermula dan berkeinginan untuk mencuba sukan ini.
Bagi mereka yang masih di peringkat pertengahan yang memang meminati sukan berkenaan dan petinju-petinju yang sudah mahir, latihan berkenaan adalah untuk mereka mendapatkan bantuan tambahan bagi pertarungan.
Di gim berkenaan, Aaron Lim menjelaskan bahawa mereka juga mempunyai karung tinju untuk mereka menjalani latihan bagaimana cara betul untuk menumbuk, melatih pelbagai teknik bertinju dan menjual beberapa peralatan bagi kegunaan latihan.
Aaron Lim juga menjelaskan bahawa mereka mempunyai pelbagai sesi latihan, antaranya sesi tumpuan, sesi terbuka dan juga sesi perseorangan (secara perjanjian).