Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projector Band kembali ‘slow rock’

    Selepas mempertaruhkan genre gabungan menerusi single sebelum ini, Projector Band kembali mengetengahkan nuansa ‘slow rock’ dalam lagu terbaharu kumpulan itu, Akhirnya Ku Tahu.

    Dicipta oleh pemain gitar kumpulan berkenaan, Razif, dengan liriknya hasil tulisan Jimie, single terbabit akan menemui peminat di semua pelantar muzik digital dalam masa terdekat.

    Akhirnya Ku Tahu boleh dianggap sebagai hadiah istimewa daripada kami untuk peminat yang setia menantikan pelancaran lagu ini.

    “Sebelum ini, kami berkongsi versi akustiknya di laman YouTube dan ia mendapat sambutan hangat apabila ditonton hampir sejuta kali, dalam waktu yang singkat.

    “Bersama lagu ini juga, kami kembali kepada genre ‘slow rock’, yang boleh dianggap sebagai identiti Projector Band, selepas mengetengahkan muzik rock dan rap menerusi single terdahulu, Cinta Kita,” kata vokalisnya, Iskandar Dzulqarnain.

    Projector Band kembali dengan genre slow rock selepas pelancaran single terdahulu bergenre rock dan rap menerusi lagu Cinta Kita. – Agensi

    Bercerita mengenai lagu terbabit, dia berkata, ia mengisahkan percintaan yang terputus di pertengahan jalan selepas wanita yang dicintai berubah sikap dan berlaku curang.

    “Lelaki itu cuba untuk melupakan segala kenangan dan berharap, selendang yang dihadiahkan oleh bekas kekasih mampu mengurangkan kerinduan di hati. Dia juga akhirnya sedar, mencintai tidak seharusnya memiliki.

    “Kami sememangnya berharap, peminat dapat menerima lagu baharu kami ini seperti mereka memberikan sokongan terhadap single terdahulu,” katanya.

    Mula memeriahkan industri muzik sekitar 2016, Projector Band cukup dikenali dengan lagu seperti Sudah Ku Tahu, Aishah dan Meskipun Kau Tahu.

    Sudah Ku Tahu juga diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-31, selain memenangi kategori Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube dan Lagu Strim Paling Tinggi pada Anugerah Industri Muzik ke-22. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda