Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek akuakultur bakal jana lebih $300 juta, 100 pekerjaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Industri akuakultur terus mencatatkan perkembangan positif dan akan memberikan sumbangan yang positif kepada ekonomi negara menerusi penandatanganan dua dokumen perjanjian iaitu Perjanjian Lesen Laut (Sea License Agreement) dan Perjanjian Tapak di antara Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan Syarikat Barramundi Asia (B) Sdn Bhd.

    Sehubungan dengan itu, majlis penandatanganan perjanjian berkenaan diadakan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini, yang disaksikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.

    Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Food Agency, Lim Kok Thai; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore, Ted Tan; setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai dari SDC, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta DARe.

    Pada majlis itu, Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa projek itu akan memberikan manfaat dari segi ekonomi dan sosial Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

    Beliau berkata dari segi perspektif Negara Brunei Darussalam, projek itu akan menjana pelaburan langsung asing yang substantif ke dalam industri akuakultur negara dan akan meningkatkan jumlah pengeluaran perikanan negara yang signifikan sebanyak kira-kira $324 juta setahun menjelang 2032.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan TYT Lim Hong Huai menyaksikan penandatanganan dua dokumen perjanjian antara Jabatan Perikanan dan Syarikat Barramundi Asia.
    Dayang Mariani bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Eva Lim sambil disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan TYT Lim Hong Huai.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan TYT Lim Hong Huai bergambar ramai dengan para jemputan khas di majlis penandatanganan berkenaan.

    Projek itu juga, jelasnya, akan mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan untuk anak tempatan dan akan meningkatkan sumbangan eksport perikanan kepada ekonomi serta mewujudkan banyak perniagaan sampingan di Negara Brunei Darussalam termasuk dalam sektor logistik dan perkhidmatan.

    Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak Jabatan Perikanan ialah Pemangku Pengarah Perikanan, Dayang Mariani binti Haji Sabtu dengan disaksikan oleh Pegawai Perikanan Kanan, Hajah Rosinah binti Haji Yussof dan bagi Syarikat Barramundi Asia (B) Sdn Bhd ialah pengarahnya, Eva Lim dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Barramundi Asia Pte Ltd, Liew Kou Yew.

    Dengan termeterainya perjanjian itu, Syarikat Barramundi Asia (B) Sdn Bhd telah mendapat kebenaran lesen untuk memajukan tapak-tapak yang telah ditawarkan iaitu tapak di luar pantai, Nankivell dengan keluasan 6,613 hektar dan Lot 6054 Kampung Meragang dengan keluasan 25.1 hektar bagi operasi penetasan dan semaian ikan, bagi menghasilkan bekalan benih ikan selungsong yang berkualiti tinggi ke sangkar ternakan ikan luar pantai termasuk kilang pemprosesan.

    Syarikat itu akan melabur sejumlah $18 juta bagi fasa pertama untuk ternakan ikan selungsong di sangkar luar pantai di Negara Brunei Darussalam dan akan menggunakan teknologi terkini dan sistem akuakultur yang mapan yang diamalkan di Eropah.

    Pada penghujung fasa pertama, projek itu dijangka menghasilkan 4,000 tan metrik ikan selungsong menjelang 2024.

    Ladang itu akan meningkatkan pengeluarannya secara progresif kepada 36,000 tan metrik menjelang 2032 dengan biojisimnya bernilai lebih $324 juta sebaik sahaja syarikat beroperasi secara maksimum.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda