Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sebanyak 33 buah keluarga yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan, anak-anak yatim, warga emas serta ibu tunggal yang tinggal di kawasan Kampong Ayer telah menerima sumbangan derma bagi Projek Amal Jiwaku Ikhlas Edisi ke-33 pada majlis yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia, petang tadi.
Majlis penyampaian sumbangan berbentuk hamper raya, barang keperluan dan pakaian itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, selaku tetamu kehormat majlis.
Seterusnya rombongan Majlis Ziarah dan Penyampaian Derma yang diketuai oleh Pengasas Projek Jiwaku Ikhlas Kris Karmila Kreations, Hajah Karmila binti Haji Sapar mengunjungi rumah-rumah individu orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta orang kurang berkemampuan di Kampung Setia A, Kampung Setia B dan Kampung Bolkiah B.
Turut hadir, Penghulu Mukim Zon 2 Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid; Pengarah Urusan Firoz Jaya Silk House, Firoz Khan Namroz Khan; Pemangku Ketua Kampung Zon 3 Kampong Ayer, Awang Rahman bin Haji Kassim, Awang Mohd Eisa bin Awang Muhammad, Blaze, wakil-wakil dari Cybersafe, Presserv Sepakat, MGS dan Krispy Krunchiez.