Gambar serahan BGC
BELAIT, 28 APRIL – Bersempena menyambut bulan Ramadan pada tahun ini, Brunei Gas Carriers (BGC) mengadakan lawatan bagi membantu penduduk Labi, Daerah Belait, sebagai sebahagian daripada Projek Amali ke-8, hari ini.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Urusan BGC, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan disertai oleh pelbagai kumpulan sukarelawan dari syarikat berkenaan.
Projek Amali merupakan inisiatif pelaburan sosial BGC bagi menangani masalah dari aspek sosial, ekonomi dan kebajikan komuniti setempat. Di bawah projek berkenaan, BGC turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan penghulu Mukim Labi bagi mengenal pasti calon yang memerlukan bantuan dalam bentuk barangan makanan dan keperluan sekolah.
Lima buah keluarga yang kurang berkemampuan me-netap di Mukim Labi yang dikenal pasti telah menerima sumbangan dan setiap keluarga menerima sumbangan makanan dan barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, makanan tin, barang keperluan mandi dan sebagainya.
Semasa majlis penyerahan sumbangan tersebut, wakil BGC berpeluang untuk bersua dengan ahli-ahli keluarga dan bersimpati dengan keadaan mereka terutama semasa pandemik COVID-19.
Pengiran Shamhary dalam kenyataan bagi mewakili syarikat dan kakitangan yang membuat sumbangan, merasa bersyukur kerana dapat memberikan bantuan dan meringankan beban keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan terutama dalam bulan Ramadan ini. Beliau berharap dengan makanan dan barangan keperluan lainnya yang telah disumbangkan akan dapat memperbaiki kesejahteraan mereka.
Salah seorang pemberi sumbangan yang juga Pengurus Teknologi Maklumat, Dayangku Norbailah binti Pengiran Haji Sulaiman meluahkan rasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada projek tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa Projek Amali diadakan adalah sebagai platform buat semua kakitangan BGC untuk sama-sama berkongsi matlamat meringankan bebanan bagi golongan yang kurang berkemampuan di Negara Brunei Darussalam.

