Saturday, November 16, 2024
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek ‘bandar hijau’ ancam komuniti setempat

    BENIN – Bekerja sebagai nelayan sepanjang hidupnya di lagun berhampiran ibu kota Benin, Porto-Novo, Antoine Ababe Houssou sentiasa percaya bahawa dia akan menghabiskan sisa hidupnya di tebing sungai, tempat di mana dia menetap dan mencari rezeki.

    Namun, kini pesara berusia 62 tahun itu menghadapi permasalahan dengan projek pembangunan pelancongan hijau yang disokong Perancis yang dijangka akan mendorongnya dan komuniti nelayan lain untuk keluar dari tanah berkenaan.

    “Saya tidak mempunyai tempat untuk pergi jika mereka mengusir saya keluar dari sini,” kata Houssou.

    ‘Bandar hijau Porto-Novo’, yang dibiayai oleh Agensi Pembangunan Perancis (AFD), bertujuan untuk meningkatkan pelancongan sambil melindungi alam sekitar di sekitar ibu kota negara Afrika Barat itu.

    Namun, pemaju bandar hijau itu juga akan memindahkan penduduk yang tinggal di sepanjang lagun antara Tasik Nokoue, betul-betul di belakang ibu kota ekonomi Cotonou dan megacity Nigeria, Lagos.

    Seorang penjual membawa ikan di atas kepalanya berhampiran rumah yang ditanda dengan warna merah di Porto-Novo pada 3 Mei 2024. – AFP
    Tanda berwarna merah dilihat pada rumah yang menunjukkan ia akan dirobohkan sebagai sebahagian daripada projek ‘bandar hijau Porto-Novo’. – AFP
    Kanak-kanak bermain di hadapan sebuah rumah di Porto-Novo pada 3 Mei 2024. – AFP
    Nelayan berehat di bawah pondok jerami di Porto-Novo pada 3 Mei 2024. – AFP
    Papan tanda yang memperincikan projek ‘persiaran lagun’ dipamerkan di Porto-Novo pada 3 Mei 2024. – AFP

    Pengarah AFD di Cotonou, Jerome Bertrand-Hardy berkata bahawa projek itu akan memberikan manfaat kepada semua orang dengan menghidupkan semula dan mempertingkatkan kawasan kejiranan yang berhampiran dengan lagun.

    Projek itu dibuat selepas Presiden Benin, Patrice Talon melancarkan beberapa skim sejak beliau berkuasa pada tahun 2016 dengan tujuan untuk menjadikan Benin lebih menarik dalam sektor pelancongan.

    Namun, buat masa ini, penduduk di kawasan tebing lagun di sekitar Porto-Novo, yang mencari rezeki terutamanya dengan menangkap ikan, masih lagi bertahan.

    “Sepuluh bulan lalu, dewan bandar raya datang untuk memberitahu kami bahawa kami mempunyai satu bulan lagi untuk berpindah dan kami menubuhkan persatuan untuk mempertahankan diri,” kata Leopold Padonou, seorang penternak ikan berusia 44 tahun kepada AFP.

    “Kami menulis kepada semua orang, tetapi kami tidak mendapat sebarang jawapan,” tambahnya.

    Beliau berkata, mengikut anggaran masyarakat, sekitar 1,000 isi rumah terjejas iaitu sekitar 5,000 orang secara keseluruhannya.

    MENJALA DI ATAS ASFALT

    Dua bulan lalu, pegawai bandar meletakkan tanda ke atas rumah-rumah yang akan dirobohkan dengan tanda berwarna merah tetapi ‘tiada siapa yang memberikan kami butiran lanjut’, kata Padonou, yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.

    Penternak ikan itu berkata, dia mengakui bahawa pembangunan di sepanjang tebing lagun telah menyebabkan peningkatan infrastruktur.

    “Kini kami mempunyai lampu, jalan-jalan sampai ke tempat kami, terdapat lintasan pejalan kaki. Mereka telah membina infrastruktur untuk kami supaya kami boleh hidup dengan baik,” katanya.

    “Tetapi kami tidak dibenarkan menikmatinya apabila kami sudah diberitahu tentang pengusiran. Dan untuk pergi ke mana?”

    Seorang nelayan yang berusia 52 tahun, Tite Kounasso berkata mata pencarian mereka bergantung kepada perairan di tasik itu.

    “Kami tidak boleh menjala di atas asfalt. Kami tidak belajar apa-apa kemahiran lain, biarkan kami tinggal di tepi tebing,” katanya.

    Namun, seperti orang lain, penjual ikan dan ketam Agathe Gandonou berkata dia masih belum berputus asa.

    “Semua kekuatan kami ada di dalam air dan kami akan berjuang untuk terus menetap di sini,” tekannya.

    Badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Justice & Empowerment Initiatives sedang berusaha untuk membantu penduduk memastikan hak mereka dihormati.

    “Kita mesti memberikan kuasa kepada masyarakat untuk mempertahankan diri. Kita mahukan perjanjian, perkongsian yang menguntungkan semua pihak,” kata Ange-Marie Esse daripada NGO tersebut.

    KAMPUNG MODEN

    Majlis Perbandaran Porto-Novo berkata projek itu dimulakan untuk menamatkan penempatan yang tidak teratur di sepanjang tebing lagun, tetapi akan mengambil kira pemeliharaan alam sekitar.

    “Ini adalah projek daya tahan perubahan iklim yang bertujuan untuk memelihara tebing semula jadi Porto Novo sambil membangunkan sektor ekopelancongan,” kata datuk bandar Porto-Novo, Charlemagne Yankoty kepada AFP.

    Bagi penduduk yang dipindahkan, datuk bandar berkata majlis perbandaran telah mengeluarkan sekitar AS$166,000 sebagai bantuan.

    “Mereka yang menetap di tebing lagun ini sebahagian besarnya bukan pemilik dan mereka juga terdedah kepada penyakit bawaan air,” katanya.

    Beliau berkata bahawa tidak semua orang akan dikehendaki untuk berpindah, kerana jika tidak, tebing-tebing ini akan menjadi sunyi.

    Datuk bandar berkata sebuah ‘kampung nelayan moden’ akan dibina tidak lama lagi, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai jadual atau bilangan orang yang akan dipindahkan ke sana.

    “Semua infrastruktur pelancongan di bandar ini sedang dibina untuk mengukuhkan daya tarikan pelancong kami,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda