Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Majlis Peletakan Batu Asas bagi projek Pembinaan Bangunan Baharu Sekolah Ugama Kampung Bolkiah berlangsung di tapak Bangunan Sekolah Ugama Kampung Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’, Jalan Kasat, Mukim Sungai Kebun, hari ini.
Projek pembinaan itu menelan belanja lebih $12.4 juta dibiayai bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir di majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.


Hadir sama di majlis berkenaan, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan yang juga Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; serta Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti Laungan Azan dan bacaan Zikir Perletakan Batu Asas secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat, Pengiran Mohd. Amiruddin bin Pengiran Haji Tejuddin.



Majlis diteruskan dengan upacara menuang simen yang didahului oleh tetamu-tetamu kehormat dan diikuti oleh para jemputan khas.
Kemudian tetamu juga diberikan taklimat mengenai reka bentuk bangunan baharu sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Arkitek di Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Awang Zuri Maszamri bin Haji Majid.
Pembinaan bangunan baharu ini antara lain bertujuan melengkapkan keperluan penduduk di Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ serta kawasan sekitarnya.
Pada masa ini, anak-anak buah Kampung Bolkiah masih mengikuti pengajian sekolah ugama di bangunan sementara menggunakan tujuh buah rumah di Kampung Bolkiah ‘B’.
Bangunan baharu Sekolah Ugama ini dijangka siap pada akhir tahun 2026, dan akan digunakan secara guna sama bagi Sekolah Rendah untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.
Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Kasat, Pengiran Mohd. Amiruddin bin Pengiran Haji Tejuddin.

