KUCHING, 2 DIS – Menaiki bot selama kira-kira 20 minit untuk ke kampung berhampiran hanya bagi mendapatkan bekalan air bersih ketika musim kemarau suatu ketika dahulu, antara pengalaman pahit penduduk Kampung Sibu Laut dekat Petra Jaya yang sukar dilupakan.
Sejak lebih empat dekad lamanya, setiap kali berlaku musim kemarau, isu ketiadaan bekalan air menjadi mimpi ngeri buat 200 penduduk Kampung Sibu Laut, yang jarak perjalanannya kira-kira sejam dari Bandar Raya Kuching.
Namun, kini masalah ketiadaan bekalan air bersih di kampung itu sudah menemui titik noktahnya menerusi inisiatif dan usaha yang dijalankan kerajaan.
Baru-baru ini, projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Zon 1 Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur bernilai lebih RM4 juta ringgit dirasmikan oleh Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom membabitkan kerja pembinaan saluran paip baharu dan pembinaan saluran paip sub marin yang merentasi Sungai Sibu Laut ke Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur selain pembinaan Stesen Pam Penggalak Sebaris.
Sebelum ini, penduduk di kampung itu hanya bergantung kepada sumber air sama ada dari telaga atau hujan, dan tatkala tibanya musim kemarau, ia akan memburukkan lagi keadaan kerana kampung itu hanya dihubungkan dengan kawasan berhampiran melalui pengangkutan air. – Bernama